Skip to main
Logo Malaysiakini

Premis makanan tak boleh sediakan ruang khas untuk merokok

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Premis makanan tidak dibenarkan menyediakan ruangan khas untuk pelanggan merokok di dalam kawasan operasi perniagaan mereka.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata peraturan itu termasuk dalam arahan yang menetapkan tiga meter - atau 10 kaki - dari kedai makan dan restoran terbuka sebagai jarak kawasan larangan merokok.

“Sekiranya kedai makan menyediakan ruang khas merokok di luar kawasan (lingkungan tiga meter), ia bukan berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan tetapi pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kami telah mengadakan perbincangan dengan PBT. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mungkin akan mempertimbangkan premis makanan untuk menyediakan tempat pembuangan puntung rokok (dan bukannya ruang khas untuk merokok),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena kempen kesihatan dan derma darah di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Batu Gajah di Batu Gajah hari ini.

Dr Lee berkata setiap premis makanan perlu mengikut lesen beroperasi restoran yang dikeluarkan pihak PBT dan tindakan tegas akan dikenakan sekiranya peraturan tidak dipatuhi.

Bermula 1 Jan 2019, peraturan larangan merokok dikuatkuasakan di semua restoran bertutup, berhawa dingin atau restoran dan warung berkonsep terbuka, namun perokok masih dibenarkan merokok pada jarak tiga meter dari luar restoran terbabit.

Pada 1 Jan tahun ini, Kementerian Kesihatan melaksanakan penguatkuasaan penuh larangan merokok di tempat makan dengan kompaun maksimum sehingga RM350.

Sementara itu, Dr Lee berkata kurang kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai kepentingan melakukan saringan awal untuk mengesan kanser antara punca peningkatan bilangan kes baru penyakit itu.

Katanya, berdasarkan rekod, 95 peratus penyakit kanser boleh dirawat dan disembuhkan pada peringkat awal, bagaimanapun ia agak sukar dirawat sekiranya sudah memasuki tahap keempat.

“Saringan awal untuk mengesan kanser boleh dilakukan di klinik kesihatan melalui ujian mamogram dan pap smear selain pemeriksaan najis berdarah bagi mengesan kanser kolorektal,” katanya.

Jumaat lepas, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata terdapat peningkatan bilangan kes baharu kanser yang dikesan sepanjang lima tahun bermula 2012 hingga 2016 iaitu 115,238 kes berbanding 103,507 kes bagi tempoh sama pada 2007 hingga 2011.

Menurut laporan sama, 10 jenis kanser tertinggi yang dikesan dalam kalangan rakyat Malaysia mengikut keutamaan bagi tempoh 2012-2016 ialah kanser payudara, kolorektal, paru-paru, limfoma, nasopharynx, leukemia, kelenjar prostat, hati, pangkal rahim dan ovari.

- Bernama