Skip to main
Logo Malaysiakini

PRK Kimanis: SPR keluarkan 36 kertas undi pos

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

PRK KIMANIS | Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengeluarkan sebanyak 36 kertas undi pos bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, 18 Jan ini.

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun dalam kenyataan berkata pengeluaran kertas undi pos itu bermula pada 11 pagi dan dijalankan oleh Petugas Pilihan Raya di Pejabat Daerah Beaufort.

“Daripada jumlah itu, 35 pengundi adalah petugas pilihan raya dan pegawai SPR, manakala terdapat seorang Pengundi Tidak Hadir (PTH) yang merupakan penjawat awam berkhidmat di luar negara,” katanya.

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) diwakili Karim Bujang yang ditentang calon Barisan Nasional (BN) Mohamad Alamin.

Beliau berkata tiada permohonan pengundi pos bagi kategori Borang 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) dan kategori Borang 1C (anggota petugas kesihatan dan keselamatan yang dibenarkan) diterima.

Katanya pengeluaran kertas undi pos itu dijalankan dengan kehadiran wakil calon daripada BN serta Warisan, dan disiarkan secara langsung atau 'live streaming' di Facebook SPR bagi menunjukkan proses tersebut dilakukan secara telus dan adil.

Selain itu, beliau berkata ia juga bertujuan meningkatkan lagi kefahaman masyarakat mengenai proses pilihan raya.

Beliau berkata tiga sampul undi pos iaitu satu sampul keutamaan PTH dan dua sampul keutamaan Petugas SPR diserahkan kepada pihak Pos Malaysia pada hari yang sama (hari ini) untuk dihantar kepada pengundi berkenaan.

Sementara, 33 sampul keutamaan undi pos bagi petugas SPR yang lain juga akan diserahkan oleh Pegawai Pengurus melalui serahan tangan mulai hari ini selepas tamat proses pengeluaran kertas undi pos, katanya.

SPR mengingatkan semua pengundi pos supaya mengisi dengan lengkap dan betul serta segera mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus PRK Parlimen Kimanis sebelum 5 petang pada hari pengundian 18 Jan ini.

Azhar berkata pengundi juga diingatkan agar tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial.

Sekiranya perbuatan itu dilakukan, tindakan undang-undang boleh diambil dan jika didapati bersalah dan disabitkan boleh dikenakan hukuman sewajarnya, kata beliau.

- Bernama