Mahkamah beri Superman kebenaran cabar larangan komik BRI
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memberi kebenaran kepada penulis komik kontroversi Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI), Hew Kuan Yau untuk memfailkan semakan kehakiman terhadap Kementerian Dalam Negeri (KDN) susulan keputusan pengharaman terhadap bukunya pada Oktober lalu.
Peguam Hew, J Shamesh berkata Hakim Mahkamah Tinggi Mariana Yahya pada keputusan yang dibuat di kamarnya pagi tadi menetapkan 20 Jan untuk pengurusan kes berkenaan.
"20 Jan ditetapkan sebagai pengurusan kes untuk melihat sama ada semua keperluan akan dipenuhi. Jabatan Peguam Negara (AGC) akan memfailkan afidavitnya untuk menjawap apa yang telah kami failkan.
"Saya percaya bahawa mereka akan membantah, dan kemudian tarikh pendengaran akan ditetapkan," kata Shamesh kepada anggota media di luar mahkamah hari ini.
Mengikut permohonan semakan kehakiman yang difailkan pada 26 Nov lalu, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin, Kementerian Dalam Negeri, AGC dan kerajaan dinamakan sebagai responden.
Hew yang juga dikenali sebagai ‘Superman Hew’ membuat permohonan semakan kehakiman itu selepas kerajaan mengharamkan buku komiknya kerana didakwa mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme.
Dalam satu kenyataan media pada 23 Oktober lalu, KDN mewartakan perintah larangan terhadap komik itu mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).
Seksyen 7 (1) menjelaskan bahawa KDN boleh melarang apa-apa penerbitan jika pihak itu berpuas hati bahawa terdapat bahan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam, gugat keselamatan moral, kepentingan awam, kepentingan negara atau kemungkinan untuk mengelirukan pendapat awam.
Menurut KDN, kandungan penerbitan, antara lain, cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme, menyebarkan fakta-fakta yang salah dan mengelirukan tentang komunisme dan mengandungi unsur-unsur yang menggalakkan sokongan dan simpati untuk perjuangan komunis.
Komik yang ditulis oleh Hew diterbitkan oleh Muzium Budaya Komik Asia dalam tiga bahasa - Melayu, Inggeris dan Cina. Larangan kementerian merangkumi kesemua tiga versi bahasa.
Ia sebahagian besarnya mempromosi China dan "Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI)" sambil meletakkan dunia Barat dalam aspek negatif.
Selain itu, antara bahagian kontroversi yang terdapat dalam komik berkenaan adalah menyifatkan orang Melayu yang bersimpati dengan etnik Uighurs di China - yang dikatakan dimasukkan ke dalam "kem pendidikan semula" oleh Beijing - sebagai "radikal".
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai