Skip to main
Logo Malaysiakini

PH, Warisan komited siapkan projek lebuh raya Pan Borneo

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Langkah mengambil alih pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sabah oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) daripada syarikat rakan penyampai projek (PDP) pada Sept tahun lepas membuktikan komitmen kerajaan untuk memastikan ia dilaksanakan dengan jayanya.

Malah, bagi memastikan projek itu berkesan, KKR kemudian memberi tanggungjawab pelaksanaannya kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri di bawah Kementerian Pembangunan Infrastruktur Sabah.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah Nov tahun lepas, Menteri Infrastruktur Sabah, Peter Anthony, menyatakan sebanyak 12 pakej kerja projek lebuh raya itu dijangka siap mengikut tempoh asal iaitu Jun 2022.

Beliau berkata tiga lagi pakej hanya akan dapat disiapkan selewat-lewatnya akhir 2023.

Pelaksanaan 15 pakej projek lebuh raya itu diteruskan pembinaannya dalam Rancangan Malaysia Ke-11 bagi tempoh 2016-2020 manakala baki 20 pakej kerja lagi akan dilaksana dalam RMK-12 (2021-2025).

Berdasarkan komitmen kerajaan persekutuan dan Sabah itu, ia sekali gus menafikan dakwaan pembangkang dalam kempen mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis yang berlangsung sekarang bahawa projek itu terbengkalai.

Dakwaan dibuat oleh bekas perdana menteri Najib Razak. Beliau mendakwa kononnya PH menyekat usaha BN untuk menukar landskap ekonomi rakyat Sabah apabila projek mega Lebuh Raya Pan Borneo kini terbengkalai.

Semalam, KKR dalam kenyataan memaklumkan bahawa projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sabah setakat 31 Dis 2019 mencatat kemajuan fizikal 22 peratus secara keseluruhan bagi 12 pakej asal dan akan siap sepenuhnya secara berfasa selewat-lewatnya Jun 2023.

KKR itu turut memberitahu tiga pakej tambahan yang baru pula dijangka siap akhir 2023.

Kurangkan kos pelaksanaan

Projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sabah dan Sarawak dilancarkan kerajaan sebelum ini pada Jun 2015, melibatkan 2,333 kilometer jalan raya utama di kedua-dua negeri.

Menyedari kepentingan pelaksanaan projek tersebut kepada penduduk di kedua-dua negeri, kerajaan PH komited memastikan projek tersebut disiapkan dan komitmen itu dinyatakan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 pada Okt tahun lepas.

Lim berkata pelaksanaan projek itu penting bagi memastikan pembangunan infrastruktur itu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi Sabah dan Sarawak.

Menerusi proses rasionalisasi diambil oleh kerajaan PH, kos projek berkenaan menghasilkan penjimatan sebanyak RM1.2 bilion dengan mengurangkan kos projek kepada RM29 bilion daripada kos asal.

Bagi Ketua Menteri Sabah yang juga Menteri Kewangan negeri, Mohd Shafie Apdal, beliau memberi jaminan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah akan diteruskan menggunakan pendekatan dan formula baru.

Beliau berkata struktur baru bagi mengurus pembinaan lebuh raya bernilai berbilion ringgit itu akan mengurangkan kos pelaksanaan projek.

Menurutnya projek masih diteruskan tetapi mahu menjimatkan wang dengan kerajaan membelanjakan RM26 juta ketika projek itu diurus PDP dan sehingga kini sejumlah RM900 juta dibelanjakan untuk pampasan tanah.

Bagi memastikan ketelusan dan projek itu dilaksana dengan baik, Mohd Shafie berkata projek akan diurus oleh badan yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan negeri, Safar Untong, dan dianggotai wakil Kementerian Kewangan serta Kementerian Kerja Raya negeri dan persekutuan.

Katanya keputusan membatalkan PDP juga berdasarkan pertimbangan syarikat perunding dimiliki ahli parti politik.

Tinjauan Bernama di kawasan parlimen Kimanis mendapati, ada kontraktor yang melakukan kerja-kerja pembinaan lebuh raya berkenaan.

- Bernama