Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Dr Maszlee juga ada lakukan perkara baik’

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengesahkan bahawa beliau menasihati menteri pelajaran itu supaya berundur daripada kabinet tetapi menegaskan bahawa ia bukan disebabkan beliau sudah melakukan banyak kesalahan.

Sebaliknya, kata Dr Mahathir, sepanjang memegang jawatan, Maszlee juga ada melakukan perkara baik.

Adalah dilaporkan sebelum ini bahawa surat yang dikatakan ditulis oleh Dr Mahathir mendedahkan bahawa Maszlee diminta untuk berhenti kerana gagal mematuhi arahan kabinet dan sering meletakkan Putrajaya dalam kedudukan yang sukar.

"Surat yang saya tulis kepada beliau (Maszlee) telah disebarkan kepada umum oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Seperti yang kamu dapat lihat ada banyak sebab. Saya tidak kata semua yang beliau lakukan adalah salah.

"Terdapat beberapa perkara yang beliau lakukan adalah betul, tetapi atas sebab-sebab yang lain, saya berpendapat adalah perlu untuk beliau meletak jawatan, beliau bersetuju dan beliau meletak jawatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) di Putrajaya, hari ini.

Mahathir juga ditanya wartawan mengenai siapa yang bakal mengisi jawatan menteri pendidikan.

“Bagi pengisian jawatan menteri pendidikan ini akan ditentukan oleh saya kerana ini adalah kuasa prerogatif saya,” katanya.

Maszlee yang juga ahli parlimen Simpang Renggam mengumumkan peletakan jawatannya sebagai menteri pendidikan, Khamis lalu.

Susulan itu, ada pihak mendakwa keputusan itu ada kaitan dengan rancangannya untuk membuka semula Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman di Putrajaya seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Pembukaan pusat itu dicadangkan susulan lawatan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz ke Malaysia pada 2017, namun dibatalkan pada Ogos 2018 selepas Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara.

Maszlee dalam laman Twitternya hari ini turut menyifatkan dakwaan itu sebagai fitnah kerana beliau tidak pernah membincangkan perkara itu semasa berkhidmat sebagai menteri pendidikan dan pusat itu tiada kaitan dengan kementerian itu.

Hari ini, Dr Mahathir turut mengesahkan peletakkan jawatan Maszlee tiada kena mengena dengan perkara itu.

[Baca berita penuh]