Skip to main
Logo Malaysiakini

Kementerian nafi dakwaan Adun DAP - 'MCA salah guna RM150j peruntukan hospital'

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kementerian Kesihatan dalam suatu kenyataan menolak dakwaan Adun Keranji, Chong Zhemin bahawa MCA telah menyalahgunakan RM150 juta yang diperuntukkan kepada sebuah hospital di Kampar.

Chong yang juga wakil rakyat DAP mendakwa peruntukan RM150 juta itu bagi cadangan membina hospital kerajaan di Kampar tetapi telah digantikan dengan rancangan MCA untuk membangunkan sebuah hospital swasta dengan kerjasama Universiti Tunku Abdul Rahman di Kampar.

Menjelaskan kepada Malaysiakini, Kementerian Kesihatan berkata, RM150 juta yang diumumkan oleh menteri kesihatan ketika itu, Liow Tiong Lai pada tahun 2012 tidak pernah disalurkan selepas projek hospital kerajaan Kampar dibatalkan.

"Peruntukan RM150 juta itu tidak pernah menjadi isu kerana ia tidak diluluskan oleh Kementerian Kewangan kepada Kementerian Kesihatan.

"Projek asal dan belanjawan itu dibatalkan kerana tanah itu didapati tidak sesuai (untuk membina hospital).

"Oleh itu, belanjawan masih berada di peringkat Kementerian Kewangan dan belum disalurkan kepada Kementerian Kesihatan," katanya.

Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan berkata terdapat peruntukan untuk hospital kerajaan Kampar sejak Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan rancangan untuk menggerakkan semula projek itu ketika membentangkan Belanjawan 2020 tahun lepas.

Kementerian Kesihatan berkata peruntukan untuk menghidupkan semula pelan hospital awam tidak disalurkan kerana pemilikan tanah untuk tapak baru perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Dakwaan Chong yang dibuat pada 2 Jan telah mencetuskan maklum balas daripada Timbalan Presiden MCA Mah Hang Soon, yang menuntut bukti bahawa MCA telah menyalahgunakan peruntukan itu.

Chong menjawab dengan menunjukkan projek awal membina hospital kerajaan telah dibatalkan pada 2016 selepas Jabatan Kerja Raya mendapati tapak yang dicadangkan itu tidak sesuai tetapi tidak ada apa-apa peruntukan, sebagaimana yang didakwa.

Pada 4 Jan, Mah mengkritik Chong kerana memberikan jawapan yang tidak relevan dan meminta beliau meletak jawatan sebagai Adun jika beliau tidak dapat mengemukakan bukti atas dakwaannya.

Mah juga mengancam tindakan undang-undang terhadap Chong jika beliau tidak memohon maaf dalam tempoh 48 jam.

Mah, ketika dihubungi mengenai maklum balas Kementerian Kesihatan, berkata: "Saya akan melakukan apa yang perlu saya lakukan."

[Baca berita asal]