‘Najib cuba buat dana filem Riza kelihatan seperti pinjaman UAE’
Rakaman telefon yang dihantar kepada SPRM mendedahkan bahawa susulan saman pelucutanhak Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat pada tahun 2016, bekas perdana menteri Najib Razak cuba untuk melindungi anak tirinya, Riza Aziz.
SPRM yakin bahawa rakaman yang diterimanya itu adalah tulen.
Menurut suruhanjaya itu, Najib membuat dua panggilan telefon pada 22 Julai 2016 kepada Putera Mahkota Emiriyah Arab Bersatu Mohammed bin Zayed Al Nahyan.
Dalam rakaman yang dimainkan kepada media, Najib didengar membuat "permintaan peribadi" kepada Mohammed berhubung dengan Riza.
"Saya juga memohon permintaan peribadi Yang Mulia, mengenai Riza dan filemnya.
"Masalahnya kecil sahaja, mungkin boleh ada perjanjian dengan Sheikh Mansour untuk menandatangani perjanjian. Dia (Riza) akan membayar mengikut jadual, yang akan menunjukkan bahawa ini adalah pakej pembiayaan yang sah, bukan pengubahan wang haram," katanya.
Sheikh berkenaan merujuk kepada Mansour bin Zayed al Nahyan, yang merupakan pengerusi International Petroleum Investment Company (IPIC) ketika itu.
Najib kemudiannya berkata: "Buat masa ini dia (Riza) di bawah sedikit tekanan, dia dijadikan kambing hitam."
"Saya amat menghargai jika perjanjian itu boleh ditandatangani secepat mungkin dengan Sheikh Mansour, supaya dia dapat mula membayar, jadi ini akan kelihatan sebagai perjanjian pinjaman yang sah.
"Kerana apabila dia (Riza) menerimanya, bank-bank membersihkan sumber wangnya. Dia tidak tahu dari mana asalnya.
"Saya tidak mahu dia menjadi mangsa sedangkan dia benar-benar percaya bahawa wang itu adalah dari Aabar, juga ingat ketika kami berjumpa semasa makan tengah hari ... Yang Mulia juga bercakap tentang mahu membantunya," tambah Najib.
Sebelum ini pada 2016, DOJ mendakwa syarikat Red Granite Pictures menggunakan dana yang diselewengkan dari 1MDB untuk membiayai filem-filemnya, termasuk The Wolf of Wall Street.
Dalam panggilan telefon sebelum ini pada 22 Julai 2016, Najib memberitahu Putera Mahkota Mohammed bahawa pengumuman DOJ telah meletakkan "awan gelap" menyelubungi Malaysia.
Najib kemudian berkata adalah penting bagi Malaysia dan UAE untuk menyelesaikan kebuntuan mengenai 1MDB dan, yang dipercayai berkaitan dengan kegagalan 1MDB untuk membayar bon yang dijamin oleh IPIC.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai