Skip to main
Logo Malaysiakini

Semua jawatan dipertanding dalam pemilihan Bersatu

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Parti Bersatu akan mempertandingkan semua jawatan di Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) pada pemiihan parti itu yang akan berlangsung 25 Januari hingga 4 April ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Bersatu, Syed Hamid Jaafar Albar, pemilihan dan keputusan akan dilakukan pada hari yang sama, 4 April.

“4 haribulan tu penjumlahan akan dibuat pada hari yang sama.. Tiada penipuan, tiada manipulasi.

“Jadi kita akan tahu siapa yang memegang jawatan di berbagai peringkat,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Bersatu di Petaling Jaya, Selangor hari ini.

Katanya, pada 20 Jun pula, mesyuarat tertinggi akan membincangkan tentang hala tuju bahagian dan beberapa pengumuman tertentu.

Untuk rekod, semua jawatan akan dipertandingkan dalam Parti Bersatu dijangka bakal mengadakan pemilihan barisan jawatankuasa seiring dengan mesyuarat tahunan dan cawangan bermula 25 Januari hingga 4 April ini.

Pada persidangan cawangan, ahli parti akan memilih jawatankuasa masing-masing dan diteruskan dengan jawatankuasa bahagian di cawangan itu berada.

Setelah itu, jawatankuasa bahagian pada persidangan akan memilih majlis pimpinan tertinggi parti di peringkat pusat pula.

Tambah Syed Hamid, proses yang sama akan dilakukan bagi pemilihan Pemuda (Armada) dan Srikandi juga.

Selain itu, Syed Hamid juga berkata ahli parti di peringkat cawangan yang ingin bertanding dalam pemilihan tidak perlu mendaftarkan pencalonan mereka selagi mereka adalah ahli yang sah

Bagaimanapun, mereka yang ingin bertanding di peringkat bahagian perlu mendaftarkan pencalonan mereka kepada petugas jawatankuasa pemilihan parti di pejabat bahagian masing-masing pada 13 Januari dari 9 pagi hingga 2 petang.