Skip to main
Logo Malaysiakini

Anwar: Saya tak lobi jawatan menteri pendidikan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Susulan kekosongan jawatan menteri pendidikan dan khabar angin berkenaan rombakan kabinet, presiden PKR, Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa kedua-dua perkara itu tidak dibincangkan dalam pertemuannya bersama Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam.

Jelasnya, perjumpaan tersebut lebih kepada perbualan “hati ke hati” antara kedua-dua pihak.

“Perbincangan itu dari hati ke hati dua orang dan dia berikan sedikit sebanyak penjelasan.

“Tetapi saya tak bincang soal kabinet dan saya pun tak lobi (untuk jawatan menteri pendidikan),” katanya ketika ditemui pemberita dalam Persidangan Antarabangsa Perpaduan dalam Kepelbagaian di Pusat Konvensyen Sime Darby, Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, Anwar yang juga ahli parlimen Port Dickson berkata perjumpaannya bersama Dr Mahathir adalah bagi membincangkan berkenaan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 (Sidang Kemuncak KL) yang diadakan bulan lalu.

Sebelum menganjurkan persidangan, penganjurnya semalam - Forum Profesional Muslim (MPF) - menafikan laporan media yang dipetik sebagai berkata bahawa majlis diadakan merupakan respons kepada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur.

Menurut laporan itu, Anwar menghimpun sarjana Islam yang sealiran dengan fahaman di Arab Saudi, yang pada bulan lepas memboikot Sidang Kemuncak KL kerana tidak senang dengan kehadiran tiga seteru utamanya - Turki, Qatar, dan Iran.

Terdahulu, media melaporkan Anwar menolak tanggapan bahawa beliau kini dalam senarai bagi jawatan menteri pendidikan.

Untuk rekod, mantan Dr Maszlee Malik meletakkan jawatannya berkuat kuasa 3 Jan lalu setelah berkhidmat selama 20 bulan. Jawatan itu sehingga kini masih belum diisi.

Sementara itu, Anwar juga menjelaskan bahawa antara perkara lain yang dibincangkan bersama Dr Mahathir adalah seperti perkara penting harus dirujuk dan berbincang dalam mesyuarat majlis Pakatan Harapan.

“Saya bincang secara umum, kepentingan keperluan harus rujuk dalam mesyuarat majlis Pakatan Harapan,” katanya.