Skip to main
Logo Malaysiakini

Pendakwa raya gugurkan kes rasuah ke atas bekas pegawai Rosmah

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan Rizal Mansor dari empat pertuduhan meminta dan menerima suapan bagi pihak Rosmah Mansor.

Ini susulan tindakan pihak pendakwa yang mengugurkan kes mereka.

Timbalan Pendakwa Raya Gopal Sri Ram memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamad Zaini Mazlan mengenai perkara itu petang tadi.

Pada tahun 2018, Rizal didakwa meminta dan menerima rasuah sebanyak RM5.5 juta untuk dirinya dan jumlah yang lebih banyak untuk Rosmah bagi projek tenaga solar di Sarawak.

Rosmah didakwa meminta rasuah sebanyak RM189 juta. Kes-kes mereka akhirnya dibicarakan bersama.

Perkembangan terbaru ini telah membawa kepada spekulasi bahawa Rizal kemungkinan menjadi saksi pendakwaan.

Pada November lalu, pendakwa memaklumkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa bekas presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy akan menjadi saksi pendakwaan terhadap tertuduh bersama, Najib Razak.

Ketika itu, Arul Kanda dan Najib kedua-duanya sedang menunggu perbicaraan atas dakwaan meminda laporan audit mengenai 1MDB.

Pada masa itu juga, pihak pendakwa berkata akan memohon Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 untuk meminta Arul Kanda memberi keterangan terhadap Najib.

Tidak seperti kes Arul Kanda, pendakwa raya untuk kes Rizal tidak menyebut Seksyen 63.