Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis nasihat turun tanglung untuk redakan keadaan - Teo

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Polis sekadar memberi nasihat kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusat Bandar Puchong untuk menurunkan perhiasan sempena sambutan Tahun Baru Cina, bukannya berbentuh arahan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, berkata langkah itu difikirkan boleh meredakan keadaan selepas Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, membuat kenyataan mendakwa perhiasan tersebut bertentangan dengan perlembagaan kerana mempunyai unsur agama.

"Ia adalah nasihat daripada polis, tapi saya percaya selepas siasatan penuh kami menegakkan prinsip bahawa sekolah adalah untuk kita menyambut semua perayaan.

"Selepas siasatan, ia didapati tidak menjadi ancaman kepada sebarang isu agama dan bangsa. Mesyuarat kabinet juga memastikan hal ini dan ia adalah pendirian kerajaan," katanya kepada pemberita selepas melawat sekolah itu petang tadi.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Kewagan, Lim Guan Eng; Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar; Menteri Luar, Saifuddin Abdullah; Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof; dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Terdahulu, Teo diminta menjelaskan keputusan pihak sekolah menurunkan tanglung yang digantung di pekarangan sekolah tersebut.

Mengulas lanjut, Teo berkata langkah berkenaan berupa nasihat dengan harapan tidak ada mana-mana pihak memperbesarkan isu tersebut.

Teo juga mengesahkan bahawa tiada aduan rasmi dibuat berkenaan dua guru sekolah tersebut yang dikatakan menyokong pendirian Putra dalam isu tersebut.

"Sehingga kini kami tidak menerima sebarang aduan. Kalau ada aduan kami akan tengok dulu," katanya.

Pagi tadi, satu mesej yang didakwa milik dua guru yang bertugas di sekolah tersebut ditularkan di media sosial khususnya dalam kalangan ibu bapa sekolah itu.

Mesej tersebut turut dilihat Malaysiakini mendapati kedua-dua guru tersebut memuat naik beberapa mesej di media sosial seolah-olah menyokong kenyataan Putra di mana perhiasan tersebut perlu dibuka.