Rakaman audio didakwa buktikan Najib 'tak berbohong'
Tidak seperti sangkaan sesetengah orang ia akan menyulitkan keadaan, Najib Razak sebaliknya hari ini menganggap pendedahan rakaman audio dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi tadi membuktikan beliau tidak berbohong selama ini.
Membuat kenyataan di media sosialnya, Najib berkata SPRM sudah memberikan bantuan dalam perbicaraan yang sedang dilaluinya.
Berdasarkan perbualan didedahkan SPRM itu, kata Najib, ada beberapa rumusan dapat dibuat mengenainya.
Pertama, kata ahli parlimen Pekan itu, ianya menunjukkan ada cubaan untuk menyelesaikan masalah 1MDB dengan cara baik demi negara yang terlibat.
Kedua, katanya, kes berkenaan dikaitkan dengan beberapa individu yang sangat dekat dengan pemimpin Abu Dhabi.
"Pengerusi IPIC (International Petroleum Investment Company), Sheikh Mansour serta Putera Abu Dhabi pernah memberitahu, mereka akan melabur dalam projek-projek filem Riza Aziz dan ini disahkan sendiri melalui perbualan itu.
"Saya dan Riza pada ketika itu tidak tahu asal-usul sumber wang yang diterima oleh Riza dan percaya dana itu tiada masalah kerana ianya telah diluluskan oleh bank penerima," katanya lagi.
Menurut Najib - yang kini berdepan lebih 40 pertuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram - menambah perbualan yang didedahkan itu juga menunjukkan Riza pernah membayar balik sebahagian daripada dana yang diterimanya sebagai pelaburan.
Ada perjanjian pelaburan asal
Dalam kenyataan sama, Najib mendakwa, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, melakukan fitnah ke atas beliau apabila mengaitkan perbualan tersebut sebagai konspirasi jenayah peringkat tinggi.
Menurut bekas perdana menteri itu, apa yang berlaku sangat pelik kerana SPRM tahu wujudnya perjanjian pelaburan asal - pada 2012 - semasa syarikat Aabar BVI melabur dalam filem terbitan Riza yang juga anak tirinya itu.
"Aabar ialah anak syarikat IPIC yang juga dimilik penuh oleh kerajaan Abu Dhabi.
"Ini antara bukti kes mahkamah semasa mereka mendakwa Riza Aziz.
"Perjanjian asal sudahpun diberi kepada para peguam serta pihak bank pada tahun 2012 juga semasa dana mula diterima," katanya.
Menurut Najib, apa yang berlaku ialah, selepas Riza membayar balik sebahagian daripada pelaburan tersebut, syarikat Aabar ditutup pada penghujung 2014.
"Sebab itu, Riza dan saya meminta perjanjian baru daripada kerajaan Abu Dhabi supaya Riza boleh teruskan pembayaran balik pelaburan itu mengikut jadual yang ditetapkan.
"Matlamat utama ialah untuk menyelesaikan pembayaran balik pelaburan tersebut kerana Riza tidak mahu terlibat dengan dana yang ada masalah," katanya.
Najib berkata perjanjian baru yang diminta itu bukan cover up (usaha menyembunyikan masalah) kerana ianya tidak masuk akal bahawa Jabatan Keadilan AS (DOJ) mempercayai perjanjian yang ditandatangani pada 2016 dan selepas itu diundur tarikh (backdate) ke 2012 pada masa dana mula diterima oleh Riza.
Hal itu kerana, katanya, pada waktu itu sudah ada perjanjian pelaburan asal.
"Oleh kerana rakaman ini membantu kes saya, peguam saya bercadang untuk meminta SPRM menyerahkan rakaman yang didedahkan hari ini untuk digunakan sebagai bukti pembelaaan dalam kes-kes saya dan Riza.
"Namun, rakaman itu perlu disahkan sebagai sahih serta disahkan mematuhi undang-undang termasuk adakah wujudnya niat jahat atau mala fide ketika rakaman dibuat sebelum digunakan sebagai bukti mahkamah terlebih dahulu," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai