Skip to main
Logo Malaysiakini

KP Perlis: Fokus basmi dadah, penyeludupan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pembasmian dadah dan penyeludupan menjadi dua fokus utama Polis Perlis dalam usaha membanteras kegiatan jenayah tahun ini, kata Ketua Polis Perlis Surina Saad.

Menurutnya, tumpuan itu diberikan susulan kejayaan kontinjen negeri itu menurunkan kadar pelbagai jenis jenayah pada kadar 5.72 peratus, iaitu 527 kes pada tahun lepas berbanding 559 kes tahun sebelumnya (2018).

“Meskipun saya anggap ini kejayaan cemerlang buat Kontinjen Perlis, namun kita tidak boleh jadikanya sebagai alasan untuk merasa selesa. Kita akan terus tingkatkan lagi usaha pencegahan dan pembanterasan jenayah di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Lee Lam Thye di Kangar, semalam.

Dalam perkembangan lain, Surina berkata pihaknya juga akan memastikan tidak ada dalam kalangan anggota dan pegawainya yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

“Tahun lepas tiga anggota ditahan atas kesalahan terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan lima orang pada tahun 2018.

“Tahun ini kita sasar sifar anggota atau pegawai yang terlibat dengan dadah… kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu terlibat dengan dadah, walaupun mereka adalah anggota polis atau anggota penguatkuasa lain,” katanya.

- Bernama