Skip to main
Logo Malaysiakini

Haniff, Kadir, Rais bimbang pendedahan rakaman audio SPRM

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Tindakan SPRM mendedahkan rakaman perbualan bekas perdana menteri Najib Razak mendapat pujian ramai, namun bukan daripada peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

Anggota Majlis Tertinggi Bersatu A Kadir Jasin dan Rais Yatim juga menimbulkan kebimbangan mengenai pendekatan badan pencegah rasuah itu.

Dalam kenyataan tegas hari ini, Haniff mengingatkan bahawa mendedahkan rakaman itu kepada orang awam boleh menjejaskan perbicaraan mahkamah berkaitan 1MDB, termasuk yang kini dihadapi oleh Najib.

Kata Haniff, SPRM sepatutnya segera menyerahkan rakaman berkenaan kepada polis dan bukannya mendedahkan kepada media.

"Memandangkan pada dasarnya, jika pun ada, kandungannya mendedahkan kemungkinan kewujudan bentuk jenayah lain, yang adalah di bawah kategori kesalahan Kanun Keseksaan dan bukannya Akta SPRM.

"Sememangnya bahan bukti yang masih perlu disiasat lanjut oleh pihak polis tidak boleh didedahkan untuk santapan awam sama sekali, apatah lagi diperdengarkan kepada orang awam kandungan perbualan berkaitan, kerana ia boleh menjejaskan siasatan dan juga memberikan gambaran dan impak negatif kepada fahaman masyarakat biasa, sedangkan siasatan belum pun bermula apatah lagi, sememangnya belum lagi selesai," katanya.

 

Haniff, yang sering mewakili Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam kes-kes yang lalu, menyifatkan tindakan SPRM mendedahkan rakaman itu sebagai "kemungkiran prinsip kedaulatan undang-undang".

"Dengan penuh kekesalan dan kesedihan, saya nyatakan bahawa tindakan pendedahan kandungan sembilan 'rakaman audio panggilan telefon' kepada orang awam pada 08.01.2020 adalah kemungkiran prinsip kedaulatan undang-undang yang sewajibnya tidak boleh dilakukan oleh mana-mana agensi penguatkuasa undang-undang seperti SPRM sama sekali.

"Jenayah atau kesalahan tidak boleh diadili atau dihukumi dengan membelakangkan prinsip kedaulatan undang-undang," katanya.

Sementara itu, Kadir, yang merupakan penasihat khas Mahathir mengenai hal ehwal media, mengingatkan bahawa SPRM boleh hilang kewibawaan dengan langkah berkenaan.

"Jangan didedahkan untuk buat ribut dan sensasi saja. Wajib siasat dan ambil tindakan. Kalau tidak orang tak percaya.

"SPRM boleh hilang kewibawaan malah boleh dituduh buat fitnah," katanya dalam kenyataan di Facebook, semalam.

Seperti Haniff, Rais juga tertanya-tanya alasan SPRM memutuskan untuk mendedahkan rakaman itu kepada orang awam dan mengingatkan ia boleh menjejaskan perbicaraan 1MDB yang sedang berlangsung.

"Beberapa pendedahan rakaman audio perbualan telefon SPRM boleh menjadi bukti substantif dalam perbicaraan 1MDB yang sedang berlangsung.

"Tidakkan ia prejudis jika mendedahkannya sekarang? Ramai antara kita berfikir demikian. Apa tujuannya? Kitatidak diberitahu," katanya dalam kenyataan di Twitter.

 

Semalam, Latheefa berkata SPRM menerima rakaman audio itu daripada sumber yang tidak mendedahkan namanya.

Kata Latheefa, SPRM memutuskan untuk mendedahkan rakaman audio itu kepada awam selepas mengesahkans kesahihannya kerana isu itu melibatkan kepentingan umum.

Rakaman audio itu kemudiannya akan dihantar kepada polis untuk tindakan lanjut, katanya.

Dikatakan dirakam antara Januari dan Julai 2016, Najib didengar dalam satu rakaman meminta putera raja Emiriyah Arab Bersatu untuk membantu melindungi anak tirinya Riza Aziz dari penelitian Jabatan Kehakiman AS (DOJ) mengenai kes 1MDB.

Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad juga didengar dalam rakaman itu membincangkan siasatan 1MDB oleh SPRM dengan Najib, isterinya Rosmah Mansor dan bekas pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Rahim.

Pendedahan ketiga adalah dari perbualan yang merakamkan Rosmah meninggikan suara dalam menasihati suaminya, Najib mengenai 1MDB.

Najib menyifatkan rakaman itu menunjukkan bahawa beliau jujur tentang skandal 1MDB dan peguamnya sedang mempertimbangkan untuk memfailkan prosiding penghinaan mahkamah terhadap SPRM.

Rosmah enggan mengulas dan menyerahkan perkara itu kepada peguamnya.

[Baca berita asal]