Skip to main
Logo Malaysiakini

Najib: Can I advise you something, pihak berkuasa?

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Semalam, rakaman perbualan telefon bekas perdana menteri Najib Razak dinasihati isterinya berhubung urusan 1MDB, yang antara lain mengandungi ungkapan 'can I advise you something?' (boleh saya nasihatkan anda sesuatu?) mencuri tumpuan ramai.

Ungkapan yang diucapkan Rosmah Mansor dengan nada tinggi itu mendapat tumpuan pengguna media sosial, sehingga trending seketika di Twitter.

Hari ini, menggunakan ungkapan sama, Najib pula memberi nasihat kepada pihak berkuasa.

Nasihat itu adalah tentang cara mengenal pasti pelaku-pelaku dalam video intim yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali.

Kata Najib, memandangkan di dalam video terbabit ada siaran rancangan televisyen yang terpasang secara kuat, maka pihak berkuasa boleh memantau rakaman kamera litar tertutup (CCTV), dan membandingkan masa pelaku-pelaku berkenaan masuk ke bilik hotel dengan masa siaran rancangan televisyen berkenaan.

Can I advise you something, pihak berkuasa? Sebenarnya bukan susah pun jika pihak berkuasa nak tahu siapa pelaku-pelaku dalam video intim itu.

“[...] Semasa mereka "beraksi" dalam video, TV terpasang kuat. Rakaman CCTV hotel juga telah diserahkan kepada pihak berkuasa.

“Boleh periksa masa, siapa yang masuk bilik siapa dalam CCTV hotel dan bandingkannya dengan masa yang rancangan TV sedang disiarkan masa itu dalam video intim itu,” katanya di Facebooknya.

Kenyataan itu dibuat setelah Peguam Negara Tommy Thomas mengumumkan tiada pertuduhan akan dibuat berhubung klip video intim tersebut selepas pakar forensik AS gagal mengenal pasti individu yang dipaparkan dalam rakaman berkenaan.

Najib dipercayai merujuk rakaman CCTV di Hotel Fourpoint, Sandakan pada 11 Mei 2019, iaitu tarikh rakaman video seks yang dikaitkan dengan Azmin dan bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Video seks berkenaan tersebar pada 11 Jun 2019, dengan Haziq mengaku terlibat di dalamnya, manakala Azmin menafikannya dan menuduh dakwaan ke atasnya sebagai usaha memusnahkan kerjaya politiknya.

Pada 3 Julai lalu, terdapat video dimuat naik di Youtube yang didakwa rakaman CCTV memaparkan Haziq dan Hilman Idham berada di hotel berkenaan.

Pada 12 Julai pula, hotel berkenaan dilaporkan berkata pihaknya telah menyerahkan semua rakaman CCTV yang diperlukan kepada pihak berkuasa susulan kes berkenaan.

Tambah Najib lagi, Haziq sendiri sudah membuat laporan polis berkenaan kejadian malam itu dan memaklumkan dengan siapa dia berada.

“Tapi kesianlah Haziq dengan pengumuman peguam negara hari ini. Saya percaya dia kini tengah fikir siapa sebenarnya yang ‘bersama’ dia malam penuh kenangan itu. Tentu dia bingung.

“Mungkin perlu juga untuk pengurus hotel itu samak bilik tersebut selepas pengumuman peguam negara hari ini,” sindir Najib lagi.

SPRM semalam menyiarkan sembilan klip audio perbualan telefon antara Najib dengan beberapa individu termasuk Rosmah, tentang kes 1MDB.

Rakaman itu turut membabitkan pelantikan Dzulkifli Ahmad dan Mohamed Apandi Ali, masing-masing sebagai ketua pesuruhjaya SPRM dan peguam negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya hari ini menyatakan sebahagian daripada klip audio berkenaan telah diserahkan kepada pihak polis.