Skip to main
Logo Malaysiakini

Mahkamah kekalkan pembebasan kerani dituduh lakukan seks oral

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan
Mahkamah Rayuan di Putrajaya, hari ini mengekalkan pembebasan seorang kerani syarikat perkapalan yang dituduh melakukan seks oral dan meramas kemaluan seorang kanak-kanak lelaki berumur enam tahun pada 2012.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Hanipah Farikullah, Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Abu Bakar Jais sebulat suara menolak rayuan pihak pendakwaan dan mengekalkan keputusan Mahkamah Majistret dan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Azri Othman.

"Tidak wujud kekhilafan untuk rayuan dan membolehkan mahkamah rayuan untuk campur tangan,” kata Hakim Hanipah yang mempengerusikan panel itu.

Pihak pendakwaan merayu ke Mahkamah Rayuan, memohon mahkamah merujuk semula kes itu ke Mahkamah Majistret untuk Azri membela diri.

Azri, 49, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kulim mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan atas pertuduhan merangsang seorang kanak-kanak di bawah umur 14 tahun untuk melakukan perbuatan tidak senonoh.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu terhadap mangsa, yang ketika itu berumur enam tahun, di sebuah rumah di Kulim, Kedah antara Mei 2012 dan 12 September, 2012.

Azri, bagaimanapun, dibebaskan oleh Mahkamah Majistret pada 3 April, 2016 tanpa dipanggil untuk membela diri.

Pihak pendakwaan mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi Alor Setar tetapi rayuan itu ditolak pada 7 Jun, 2017.

Azri diwakili peguam Burhanudeen Abdul Wahid manakala pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd Zain Ibrahim.

- Bernama