Skip to main
Logo Malaysiakini

MA63: K'jaan akan usul lagi pindaan perlembagaan Mac ini - KM Sabah

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

PRK KIMANIS | Kerajaan dijangka sekali lagi akan membawa usul bagi meminda Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan ke parlimen bulan Mac nanti selepas gagal berbuat demikian pada April tahun lalu.

Ketua Menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal, berkata pindaan perlembagaan itu perlu untuk mengembalikan hak negeri itu.

"Insya-Allah bulan Mac ni kita akan cuba bawa (pindaan perlembagaan).

"...Dan kita lihat mereka (pembangkang) nak menyokong atau tidak dan PRU15 orang Sabah bukan bodoh," katanya ketika ditemui selepas berkempen di Bongawan, Kimanis, malam tadi.

Pada 9 April tahun lalu, cadangan Putrajaya untuk meminda perlembagaan bagi mengembalikan status Sabah dan Sawarak gagal diluluskan di peringkat dasar.

Usul itu hanya boleh diluluskan apabila mendapat sokongan dua per tiga daripada anggota Dewan Rakyat.

Mengikut keadaan semasa PH memerlukan sokongan 148 anggota parlimen bagi meluluskan pindaan tersebut.

Bagaimanapun ketika undian dijalankan hanya 138 anggota parlimen menyokong manakala 59 lagi berkecuali. 

Menteri Undang-undang Liew Vui Keong pada 10 April 2019 berkata sejarah akan mengenang pihak yang menggagalkan usaha kerajaan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memulihkan status asal Sabah dan Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Umno dan juga MP Ketereh, Annuar Musa pada 10 April 2019 berkata usul pindaan kerajaan telah "berjaya dipatahkan oleh muafakat pembangkang."

"Gabungan Parti-Parti Sarawak, PAS dan BN telah ambil pendirian tidak mengundi dan berkecuali.

"Penolakan ini adalah atas dasar pindaan perlembagaan yang cuba dibawa tidak menepati hasrat rakyat Sabah dan Sarawak yang mahukan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dilaksanakan.

"Sebaliknya kerajaan hanya cadang meminda Perkara 2(1), yang dianggap tidak memadai, bersifat kosmetik dan membelakangi hasrat sebenar rakyat sabah dan Sarawak," katanya.

Usul meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan itu membabitkan kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai negeri dalam negara ini.

Melalui fasal baru itu, perlembagaan akan memperincikan kedudukan semua negeri yang membentuk persekutan dan mengembalikan status negeri semasa pembentukan Malaysia pada 1963.

Mengulas mengenai janji BN untuk melaksanakan sepenuhnya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Shafie berkata ia sepatutnya sudah lama dilaksanakan.

"Jangan cakap, 50 tahun sudah (berlalu), apabila Pakatan Harapan, Warisan perintah perdana menteri sendiri jadi pengerusi (jawatankuasa MA63)...Saya ingat ada 17 perkara yang kita persetujui," katanya.

Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berkempen di Kimanis malam kelmarin bersumpah akan melaksanakan sepenuhnyan MA63 jika BN kembali ke Putrajaya.

Sementara itu mengulas mengenai dakwaan bekas menteri luar Anifah Aman bahawa beliau terpaksa menunggu dua jam untuk bertemu Shafie ketika menjadi menteri kemajuan luar bandar dan wilayah bagi memohon projek pembangunan di Kimanis.

Shafie berkata, beliau tidak tahu bila bekas anggota parlimen Kimanis itu mahu berjumpanya.

"Saya tak tahu bila dia nak jumpa saya, setiausaha saya tak bagi tahu... siapa kata kita tak bagi, kita bagi RM500,000.

"Buat apa tunggu di KKLW, dia menteri luar banyak juga masalah patut diselesaikan. Dia punya masalah Filipina dengan Malaysia, tuntutan Sabah. Dia tunggu di pejabat (KKLW) buat apa," katanya.