Nahas pesawat Ukraine: Presiden Majlis Eropah gesa siasatan telus
GLOBAL | Presiden Majlis Eropah (EC) Charles Michel menggesa agar satu siasatan teliti dan telus dilakukan berhubung nahas pesawat penumpang milik Ukrainian International Airlines yang terhempas di Iran pada Rabu, lapor agensi berita Turki Anadolu.
"Saya menyokong gesaan Presiden (Ukraine Volodymyr) Zelensky serta Perdana Menteri (Kanada dan Britain) Justin Trudeau dan Boris Johnson agar satu siasatan terbuka dan menyeluruh dilakukan berhubung nahas pesawat Ukraine yang terhempas," menurut Michel pada Khamis di Twitter.
"Apabila keluarga kehilangan orang yang disayangi, mereka berhak tahu apa yang telah berlaku. Ingatan dan doa kami bersama keluarga dan rakan mangsa," katanya.
Pesawat jenis Boeing 737-800 itu terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini di Tehran beberapa jam selepas Kor Pengawal Revolusi Islam Iran melancarkan lebih sedozen peluru berpandu balistik yang menyasarkan tentera Amerika Syarikat di Iraq sebagai tindakan balas terhadap pembunuhan Qassem Soleimani, komander tertinggi tentera elit Iran minggu lepas di luar Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad.
Sejumlah 176 orang terkorban dalam nahas itu termasuk rakyat Iran, Kanada, Ukraine, Sweden, Afghanistan, Jerman dan Britain.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai