Skip to main
Logo Malaysiakini

Bursa Malaysia rendah pada tengah hari

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Bursa Malaysia kekal dalam wilayah negatif pada waktu rehat tengah hari ini apabila terus diheret turun oleh kaunter saham berkaitan Petronas berikutan ketidaktentuan membabitkan operasi syarikat itu di Iraq.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.75 mata kepada 1,591.90 berbanding 1,595.62 sewaktu ditutup semalam.

Seorang penganalisis berkata kebimbangan pelabur terhadap operasi Petronas di Asia Barat akan terus ada selagi ketegangan antara Amerika Syarikat dan Iran belum berakhir.

“Petronas setakat ini masih belum mengumumkan sebarang rancangan membabitkan operasinya. Namun kami yakin aliran penurunan itu tidak lama memandangkan ketegangan antara Teheran dan Washington sudah agak reda,” katanya.

Pada masa ini, terdapat seramai 163 rakyat Malaysia di Iraq, sebahagian besarnya merupakan kakitangan Petronas dan pensyarah manakala 73 orang telah berdaftar dengan Malawakil (Pejabat Delegasi Malaysia) di Teheran.

Wisma Putra juga telah mengeluarkan nasihat perjalanan dan berharap supaya rakyat Malaysia di Iran dan Iraq serta mereka yang bercadang untuk melakukan perjalanan ke negara terbabit, mengambil langkah keselamatan sewajarnya.

Dalam pada itu, saham berkaitan Petronas iaitu Petronas Gas susut empat sen kepada RM16.96, Petronas Chemicals turun enam sen kepada RM7.25 manakala Petronas Dagangan rugi 16 sen kepada RM22.60.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Tenaga Nasional merosot enam sen kepada RM12.98 manakala Sime Darby Plantation turun lima sen kepada RM5.40,

Bagi saham aktif, DGB naik satu sen kepada 15 sen, Sapura Energy untung setengah sen kepada 28.5 manakala Mudajaya menokok 5.5 sen kepada 45 sen.

Kaunter paling untung, Malaysian Pacific yang menokok 44 sen kepada RM12.22, KESM meningkat 47 sen RM9.83 manakala United Plantation naik 60 sen kepada RM26.70.

Indeks FBM Emas berkurangan 21.79 mata kepada 11,340.12 dan Indeks FBM Emas Syariah turun 36.31 mata kepada 11,953.32.

Indeks FBMT 100 pula susut 22.34 mata kepada 11,135.36, FBM 70 turun 12.63 mata kepada 14,228.74 manakala FBM Ace naik 5.20 mata kepada 5,505.87.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun sedikit sebanyak 0.51 mata kepada 153.35, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 3.40 mata kepada 15,563.24 dan Indeks Perladangan merosot 23.89 mata kepada 7,662.40.

- Bernama