Demo antiperang di KL, Amerika digelar ‘syaitan besar’
Kira-kira 50 orang berhimpun di Jalan Tun Razak hari ini bagi menyerahkan memorandum kepada kedutaan Amerika Syarikat (AS) ekoran serangan yang membunuh pegawai tertinggi keselamatan Iran, Maj Jen Qassim Suleimani.
Perhimpunan anjuran Parti Sosialis Malaysia (PSM) itu diadakan bagi mengutuk tindakan AS dan menuntut negara itu berhenti melakukan "provokasi" yang boleh membawa ke arah peperangan.
Himpunan bermula dengan perarakan peserta dari Masjid Tabung Haji, tepat jam 2 petang, sebelum bergerak dan berhimpun di bahu jalan, bertentangan dengan kedutaan Amerika Syarikat.
Individu yang mengetuai perarakan menggelar AS sebagai “syaitanul akbar” (syaitan besar) melalui pembesar suara.
Di tengah-tengah kesesakan jalan raya, mereka melaungkan ungkapan “henti peperangan!” “Jahanam Amerika!”, “Hancurkan Israel!””Allahuakbar!” dan ungkapan-ungkapan antiperang.
Mereka turut membawa kain rentang dan gambar-gambar Qassim dan Abu Mahdi al-Muhandis- timbalan komander Iraq yang turut terbunuh dalam serangan pada 3 Januari itu.
Himpunan kemudiannya mendengar ucapan daripada wakil-wakil parti dan NGO, antaranya dari PSM, Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan wakil mahasiswa, sebelum memorandum diserahkan kepada pihak kedutaan AS oleh beberapa wakil, diketuai Pengerusi PSM, Dr Michael Jeyakumar Devaraj.
Dalam memorandum tersebut, mereka menuntut agar:
- AS menghentikan tindakan agresif dan retorik yang mengajak ke arah peperangan.
- AS segera menarik keluar tenteranya dari Iraq.
- Iran dan AS mengawal tindakan mereka (restraints) bagi mengelakkan perang di kawasan timur tengah.
- Menghentikan sekatan ke atas Iran.
- Menutup semua pangkalan tentera AS di luar negaranya.
Antara lain, memorandum itu berkata pembunuhan Qassim merupakan tindakan provokasi oleh presiden AS Donald Trump untuk menegangkan lagi keadaan dan menuju ke arah mencetuskan perang.
“Kita jangan lupa bagaimana perang oleh AS di Afghanistan dan Iraq di sepanjang dua dekad lalu telah membawa ketakutan, kemusnahan, dan penderitaan kepada berjuta manusia di kawasan itu.
“Perang ke atas Iran dan satu lagi konflik ketenteraan di Iraq hanya akan memburukkan lagi keadaan,” kata memorandum itu lagi.
Memorandum itu disokong oleh 47 kumpulan termasuk PSM, Abim, Suaram, Kipidap, Gerak, Sahabat Rakyat, Serumpun Malaysia, Sejagat Malaysia, Teoh Beng Hock Trust for Democracy, Tenaganita dan sebagainya.
Ketika ditemui pemberita selepas perhimpunan, Dr Jeyakumar berkata, himpunan itu adalah bagi memberikan mesej bahawa perang akan memberi kesan kepada semua orang.
Mengambil contoh apa yang berlaku di Iraq, kata Dr Jeyakumar, perang hanya akan melahirkan kumpulan-kumpulan ekstrem yang hanya akan menyebabkan huru-hara.
Katanya, punca masalah di timur tengah adalah apabila AS bertindak memberi sokongan kepada kumpulan militan untuk berlawan dengan kumpulan militan lain, dan membekalkan senjata untuk Sunni dan Syiah melawan satu sama lain.
“Selepas itu, kamu sudah tak boleh hentikan (perperangan).
“Seluruh masalah militan Islam dan ekstremisme, disebabkan oleh AS dan Britain, bukan oleh agama itu sendiri,” katanya lagi.
Ahli jawatankuasa pusat PSM, S Arutchelvan pula berkata, bagi menyelsaikan masalah perperangan, AS perlu memanggil tenteranya keluar daripada pangkalan di negara-negara luar terutamanya di timur tengah.
“Selagi perkara ini tidak selesai, selagi itulah isu seperti di Syria, Libya, dan sekarang di Iran (berterusan),” katanya dalam ucapannya.
Himpunan bersurai pada kira-kira jam 3.30 petang setelah hujan turun.
Hubungan AS dengan Iran menjadi keruh apabila AS pada Mei 2018 mengundur daripada perjanjian nuklear Iran, Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) dan mengenakan sekatan ketat ke atas negara itu.
Ia meruncing apabila 2019, apabila berlaku siri serangan ke atas beberapa serangan fasiliti minyak dan kapal di rantau itu dan AS meningkatkan kemasukan tenteranya di timur tengah.
Akhir bulan lepas, seorang kontraktor AS terbunuh dalam satu serangan ke atas pangkalan tentera AS di Iraq.
Ia membawa kepada siri berbalas serangan antara AS dan Iran, apabila AS melancarkan serangan udara balas ke atas kumpulan militan disokong Iran yang didakwa bertanggungjawab ke atas serangan yang mengorbankan warganeranya itu.
Konflik memuncak pada 3 Januari lalu, apabila serangan udara AS berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad membunuh Qassim, sehingga pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei berikrar membalas atas kematian.
Sebagai serangan balas, Iran pada 8 Januari melepaskan tembakan roket ke atas pangkalan udara Iraq, yang menempatkan tentera AS, hanya beberapa jam selepas pengebumian Qasem Soleimani, sehingga didakwa mengorbankan nyawa 80 rakyat AS.
Dalam perkembangan terbaru, hari ini, Kongres AS meluluskan resolusi yang memaksa Trump mendapatkan kelulusan kongres sebelum mengambil langkah-langkah ketenteraan terbaru terhadap Iran.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai