Skip to main
Logo Malaysiakini

Keadilan buat doktor baru

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

ULASAN | Kecoh baru-baru ini apabila Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengumumkan pemansuhan bayaran insentif perkhidmatan kritikal buat lantikan doktor baru bermula Januari 2020.

Tidak hanya di kalangan graduan yang mengeluh, bahkan menteri-menteri yang ramai pun bertalu-talu menyatakan ‘protes’ ke atas langkah ‘penjimatan’ ini.

Selaku mantan doktor yang pernah berkhidmat di Hospital Besar Pulau Pinang dan Hospital Sungai Buloh, ramai yang menghubungi saya baik di media sosial dan telefon agar saya menyuarakan bantahan mengenai isu ini. 

Namun melihatkan perbahasan di media sosial yang cukup hangat dan penuh emosi, saya mengambil pendekatan untuk tunggu sehingga ia sedikit reda sebelum saya mengutarakan pandangan dalam suasana yang lebih tenang, teratur dan rasional.

Kerjaya doktor bukan pilihan ideal

Pertamanya, kita perlu memahami bahawa hakikatnya memilih kerjaya sebagai seorang doktor itu bukanlah satu pilihan yang ideal bahkan sukar. Tempoh pengajian yang lama, dan tanggungjawab serta bebanan kerja yang melibatkan soal hidup mati seseorang amatlah besar dan sukar untuk seseorang yang bergelar.

Bayangkan kesukaran dan tempoh yang perlu dilalui oleh seorang graduan perubatan yang mengikuti masa pengajian yang panjang; dua tahun untuk pra universiti, lima tahun dalam pengajian di fakulti, dua tahun bertugas sebagai doktor pelatih “houseman” dan ditambah pula dua tahun perkhidmatan wajib bersama kerajaan.

Dua belas tahun, itulah tempoh waktu yang mesti dilalui oleh seorang graduan perubatan sebelum kami bebas menentukan nasib dan hala tuju dalam kerjaya kami, lamanya hampir sama dengan seluruh tempoh persekolahan seorang murid dari sekolah rendah hinggalah menduduki SPM.

Realiti bergelar doktor hari Ini

Skim insentif perkhidmatan kritikal dilaksana untuk menyelesaikan masalah kekurangan kritikal bagi penjawatan profesional tertentu di dalam kerajaan dan telah diamalkan semenjak tahun 90an. Elaun kritikal ini tidak dikhususkan kepada jawatan doktor sahaja dan tidaklah suatu dasar yang bersifat kekal kerana ia harus dirangka berdasar kepada keperluan dan situasi semasa.

Situasi hari ini, graduan perubatan menghadapi beberapa masalah limpahan kerana kegagalan pentadbiran terdahulu dalam merangka dasar penjawatan yang lestari dan efisien untuk sektor kesihatan negara. 

Lambakan graduan, kurangnya tempat latihan ‘houseman’, dan jumlah penjawatan yang tidak ditambah, telah menyukarkan graduan baru untuk diambil bekerja di dalam perkhidmatan awam. Sudahlah lewat diambil bekerja (kerana keperluan perkhidmatan wajib), secara tak langsung dipaksa menganggur selama lebih setahun, kini elaun kritikal untuk lantikan baru pulang ingin dipotong atas justifikasi bahawa jawatan ini sudah tidak kritikal untuk perkhidmatan awam.

Keluhan dan keresahan yang dibangkitkan oleh majoriti mereka yang terlibat ini harus diterima dengan lapang dada oleh kerajaan kerana nasib mereka ini ibaratnya adalah seperti sudah jatuh ditimpa tangga pula.

Berlaku adil kepada graduan

Selama ini para graduan perubatan dan doktor ’secara paksa’ diarahkan untuk berkhidmat di hospital kerajaan demi membolehkan mereka mendapat lesen untuk berkhidmat atau peluang untuk meneruskan pengajian di peringkat sarjana bagi bergelar pakar.

Tidak adil lagi untuk kerajaan memaksa para graduan perubatan menganggur lebih dari setahun hanya untuk menunggu kekosongan bagi penempatan ‘housemanship’, dipaksa pula berkhidmat wajib selama empat tahun dengan jawatan kontrak dan terkini mahu memotong elaun kritikal mereka dan tidak menjamin sebarang penjawatan tetap.

Suka untuk saya menggesa kerajaan Pakatan Harapan hari ini untuk mengkaji dengan lebih mendalam masalah yang telah berlarutan untuk beberapa ketika ini. Jangan kita ambil jalan mudah dan tidak mahu mendepani isu pokok kepada permasalahan ini. Satu kebijakan di luar kotak harus diambil bagi mengakhiri permasalahan ini.

Pemerintah pada hari ini mesti berlaku adil kepada graduan perubatan. Tindakan memotong elaun kritikal untuk para doktor baru-baru ini secara tidak langsung membayangkan bahawa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam telah menganggap tiada lagi keperluan kritikal untuk bidang ini (baca : buat masa ini). 

Maka wajiblah disemak juga arahan perkhidmatan wajib dalam kerajaan selama empat tahun yang dikenakan ke atas para graduan perubatan ini. Mekanisme baru untuk para graduan doktor ini diberikan lesen praktik harus dikaji. Pemerintah harus berani menghentikan perkhidmatan wajib ini.

Saya juga terpanggil untuk mendesak kerajaan merombak semula program ‘housemanship’ ini di mana proses sekarang ini menyebabkan ‘backlog’ yang agak kritikal dan membuatkan graduan perubatan menunggu masa yang lama sebelum mendapat penempatan.

Sudah tiba masanya kita membuka dan mewajibkan hospital swasta untuk berkongsi beban yang ditanggung kerajaan untuk melatih graduan perubatan ini - para doktor untuk masa depan.

Cukup sudah selama ini di mana hospital swasta hanya mengambil atau menerima para doktor pakar kerajaan yang telah dilatih bertahun lamanya tanpa sebarang perlaburan dari pihak swasta. Pihak swasta juga harus bersama-sama pihak kerajaan untuk meringankan beban masalah yang telah berlarutan ini.

Kesimpulan

Sekiranya kerajaan mahu memansuhkan elaun kritikal ke atas lantikan doktor baharu atas dasar keperluan semasa, maka perlulah juga meneliti semula skim ‘housmanship’

dan perkhidmatan wajib. Isunya di sini bukanlah para doktor muda ini ralat atau tidak mahu berkhidmat untuk negara, tetapi nilai ‘pengorbanan’ yang dituntut oleh pemerintah ke atas mereka adalah terlalu besar lebih-lebih lagi di zaman yang semakin mencabar ini.

Maka berlaku adillah kepada mereka. Jangan kita patah-patahkan semangat orang muda ini dengan terperangkap di dalam skim dan sistem yang telah lapuk. Berikan mereka nafas baru yang lebih cerah dalam menentukan masa depan kerjaya mereka dan peluang untuk maju bersama membangunkan negara Malaysia yang tercinta.


DR AFIF BAHARDIN ialah exco pertanian & industri asas tani, pembangunan luar bandar dan kesihatan merangkap anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Jaya.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.