Skip to main
Logo Malaysiakini

Dua murid di Pahang dijangkiti Influenza A

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Dua murid sekolah rendah di Pahang disahkan dijangkiti virus Influenza A, kata Pengarah Pendidikan Pahang Dr Tajuddin Mohd Yunus.

Beliau berkata mangsa pertama ialah murid tahun lima di sebuah sekolah di Raub yang dipercayai mula dijangkiti penyakit itu pada Khamis lalu selepas dibawa ke klinik kerana demam.

“Pihak sekolah dimaklumkan oleh ibu bapa kanak-kanak itu yang membawanya ke sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur dan difahamkan telah diberi arahan kurantin selama lima hari bermula Khamis lalu,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Tajuddin berkata kes kedua direkodkan di Kuantan melibatkan murid tahun dua yang kini sedang mendapat rawatan di sebuah hospital swasta di Kuantan.

Katanya, bapa murid itu memaklumkan anaknya menghidap Influenza A selepas pihak sekolah menghubungi keluarga itu semalam, selepas murid itu gagal hadir ke sekolah bermula 6 Jan lalu.

Beliau berkata Pejabat Kesihatan Daerah telah dimaklumkan mengenai kejadian itu supaya langkah sewajarnya dapat dilakukan bagi mengawal penularan virus itu.

-Bernama