Skip to main
Logo Malaysiakini

Gambar satelit tular bukan Hutan Simpan Kekal Bintang Hijau

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Dakwaan terdapat aktiviti pembalakan di kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) Bintang Hijau, Kuala Kangsar dekat sini melalui penularan satu gambar satelit yang tular di media sosial adalah tidak benar.

Jabatan Perhutanan Negeri Perak dalam kenyataan hari ini berkata semakan yang dilakukan Pejabat Hutan Daerah Hulu Perak mendapati kawasan hutan yang telah dibersihkan dipercayai untuk dibangunkan seperti terpapar dalam gambar satelit itu adalah kawasan Felda Lawin Selatan, Gerik.

"Pasukan semakan telah bertemu dengan pengurus Felda Lawin Selatan dan mengesahkannya," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, semakan awal yang dilakukan bersama Pejabat Hutan Daerah Hulu Perak berpandukan imej peta Google dan Sistem e-GP yang dibangunkan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia bagi memantau kawasan HSK juga mendapati kawasan itu terletak di luar HSK.

Bagaimanapun katanya Jabatan Perhutanan Negeri akan membuat semakan lanjut di lapangan bagi pengesahan status sebenar kawasan tersebut dengan kadar segera.

Sebuah akhbar tempatan hari ini melaporkan satu imej satelit menunjukkan tanah kawasan hutan yang telah dibersihkan dan diratakan dengan meluas dipercayai untuk tujuan pembangunan dikatakan di kawasan HSK Bintang Hijau, tular di media sosial.

HSK Bintang Hijau yang berkeluasan lebih 52,000 hektar telah diwartakan di bawah Perintah Pemuliharaan Hidupan Liar (Kawasan Larangan Memburu) 2013.

- Bernama