Skip to main
Logo Malaysiakini

Rina nafi Mara henti bantuan untuk usahawan luar bandar

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Mohd Harun hari ini menafikan dakwaan kononnya Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan menghentikan bantuan kepada usahawan luar bandar.

Rina sebaliknya berkata Mara akan terus mengadakan pelbagai program untuk membantu sekali gus melahirkan lebih ramai usahawan di luar bandar.

“Kalau ada yang kata kita hentikan bantuan kepada usahawan luar bandar, saya minta hentikan fitnah-fitnah ini.

“Saya lagi nak lahirkan lebih ramai jutawan, usahawan Mara dan Mara akan terus buat program lebih banyak untuk bantu usahawan-usahawan... yang penting Mara sebagai satu institusi, membantu masyarakat luar bandar, akan meneruskan usahanya baik dari segi pendidikan mahupun keusahawanan,” katanya kepada pemberita selepas Program Ramah Mesra dan Ziarah Kasih Bersama Masyarakat DUN Bagan Pinang, Port Dickson, hari ini.

Dakwaan mengenai Mara itu timbul selepas pengerusinya, Dr Hasnita Hashim, pada Dis tahun lalu membuat kenyataan bahawa agensi terbabit menghentikan sebarang penyaluran peruntukan bagi pelaburan baru, kecuali dalam bidang pendidikan.

Mengulas lanjut, Rina berkata kenyataan itu mungkin telah disalah tafsir oleh sesetengah pihak sehingga menimbulkan kekeliruan.

Sehubungan itu, Rina berkata, pihaknya akan membuat satu sidang media khas dalam masa terdekat untuk menjelaskan perkara itu.

“Kita tidak mahu timbul masalah ada yang menagguk di air keruh atau mungkin penyampaiannya tidak sampai dan sebagainya,” katanya.

- Bernama