Skip to main
Logo Malaysiakini

Laporan penuh bedah siasat Nora Anne diperoleh dalam masa terdekat - Polis

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Laporan lengkap bedah siasat remaja Ireland Nora Anne Quoirin akan diperolehi dalam masa terdekat, kata Ketua Polis Negeri Sembilan Mohamad Mat Yusop.

Beliau berkata ketika ini pihaknya masih menunggu laporan lengkap daripada pasukan patologi sebelum pihak polis mengemukakannya kepada Pejabat Peguam Negara.

"Laporan penuh kita jangka dalam masa terdekat akan kita peroleh daripada (pasukan) patologi, lain-lain laporan tiada," katanya kepada Bernama selepas perasmian penutup Kejohanan Bola Sepak Piala Ketua Polis Negeri Sembilan 2020 di Nilai, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan SAC Che Zakaria Othman dan Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Nor Marzukee Besar.

Katanya berdasarkan laporan awal yang telah dihantar kepada Pejabat Peguam Negara, setakat ini kes berkenaan dikategorikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA).

Nora Anne yang berusia 15 tahun bersama keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian selama dua minggu dan mendaftar masuk di resort The Dusun Pantai Hill, Pantai, dekat Nilai pada 3 Ogos tahun lepas, sehari sebelum remaja itu dilaporkan hilang pada awal pagi keesokannya.

Mayat remaja itu ditemukan pada 13 Ogos iaitu 10 hari selepas kehilangannya oleh pasukan sukarelawan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat dalam keadaan tidak berpakaian berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, sekitar 2.5 km dari ekoresort itu.

Laporan awal bedah siasat mendapati kematian Nora Anne, yang mengalami masalah pembelajaran, tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja perempuan itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca daripada tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan.

Sementara itu, dalam perlawanan akhir kejohanan tersebut pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban memperoleh kemenangan ke atas pasukan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan dengan keputusan 2-1.

IPD Seremban membawa pulang piala pusingan Ketua Polis Negeri Sembilan.

- Bernama