Skip to main
Logo Malaysiakini

ERC serah laporan interim kepada PM

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem Pilihan Raya (ERC) telah menyerahkan laporan interimnya kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya hari ini.

ERC, dalam satu kenyataan hari ini, berkata ia juga menjangkakan untuk menyampaikan laporan penuh kepada perdana menteri menjelang Ogos tahun ini.

Laporan ini berdasarkan kepada 21 sesi perbincangan dengan pihak berkepentingan selama 16 bulan sejak ERC ditubuhkan pada Ogos 2018.

"Tugas utama ERC adalah mengemukakan cadangan dan syor bagi memastikan pilihan raya di Malaysia dilaksanakan dengan sempurna, mengikut standard yang dicapai oleh negara-negara demokrasi yang maju dan bagi mendapatkan kepercayaan awam sepenuhnya.

"Sehubungan itu, ERC telah menjalankan kajian yang intensif sejak ditubuhkan, dengan berfokuskan kepada 15 komponen kajian yang spesifik berlandaskan kepada objektif untuk mencapai tahap demokrasi pilihan raya sempurna.

"ERC telah menjalankan tugas mengikut mandat yang diberikan untuk mengkaji sistem dan undang-undang pilihan raya, termasuk melakukan perbandingan dengan negara-negara demokrasi yang maju," katanya.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan bahawa antara cadangan ERC adalah pengenalan sistem perwakilan berkadar di peringkat persekutuan.

Di bawah sistem first-past-the post ketika ini, pemenang dilihat cenderung untuk mengambil lebih banyak kerusi di Dewan Rakyat berbanding dengan undi yang sebenarnya mereka raih.

Sistem kerika ini juga membolehkan sesuatu gabungan atau parti untuk memenangi pilihan raya meskipun kalah daripada segi undi popular.

Sementara di bawah sistem perwakilan berkadar yang dicadangkan, sesuatu parti akan diperuntukkan kerusi berdasarkan perkadaran undi yang mereka menangi di setiap negeri.

ERC berkata ia juga menerima maklum balas dalam bentuk memorandum dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak berkepentingan, termasuk parti politik, yang telah membantu jawatankuasa tersebut.