Skip to main
Logo Malaysiakini

PDRM siasat kesahihan, ketulenan rakaman audio didedah SPRM

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kesahihan rakaman audio yang dikaitkan dengan Najib Razak adalah antara aspek yang akan diteliti Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata ketuanya Abdul Hamid Bador.

Menurut beliau polis sudah menerima semua sembilan klip rakaman tersebut dan ia akan diteliti dari semua sudut, termasuk dari mana ia diperolehi.

Kata Abdul Hamid, ada tiga aspek yang akan diteliti polis, masing-masing membabitkan Seksyen 203A (berkaitan pendedahan maklumat berhubung siasatan rasmi dan Seksyen 218 (penjawat awam membentuk rekod atau tulisan yang tidak betul untuk menyelamatkan seseorang daripada seksaan) Kanun Keseksaan, selain Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 (berkaitan menyampaikan rahsia rasmi secara salah).

Jika sabit kesalahan, setiap akta masing-masing menyediakan hukuman denda sehingga RM1 juta, penjara setahun atau kedua-duanya sekali; penjara tiga tahun, denda atau kedua-duanya; dan penjara sehingga tujuh tahun.

Pada 8 Jan lalu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mendedahkan sembilan rakaman audio didakwa perbualan Najib Razak dengan beberapa orang berprofil tinggi.

Antaranya, isteri bekas perdana menteri itu sendiri, Rosmah Mansor, dan Ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim, yang pernah dilantik kerajaan BN menjadi pengerusi Lembaga Tabung Haji.

Turut dikaitkan ialah bekas ketua pesuruhjaya SPRM - yang semasa perbualan itu berlangsung bertugas di Jabatan Peguam Negara - Dzulkifli Ahmad.

Perbualan didakwa dirakam secara sulit itu berlaku pada 2016 dan berkisar mengenai hal-hal berkaitan 1MDB, termasuk kertas siasatan pihak berkuasa terhadap Najib.

Abdul Hamid berkata polis juga akan memanggil Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, untuk memberi keterangan.

Ditanya tentang kepatuhan undang-undang di sebalik rakaman secara rahsia itu, Abdul Hamid berkata, polis turut akan meneliti aspek tersebut.

"Sudah pasti kami akan melihat sudut itu dan mendapatkan pandangan peguam negara, mengesahkan ketulenannya dan dari mana ia datang," katanya.

[Baca berita penuh]