Skip to main
Logo Malaysiakini

Tertuduh kes gangguan seksual dilepas tanpa bebas sebab DPP tak bawa kertas siasatan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Tertuduh dalam satu kes gangguan seksual dilaporkan telah dilepaskan tanpa dibebaskan ekoran timbalan pendakwa raya tidak menyertakan kertas siasatan ketika sebutan kes di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini.

Peguam Francis Pereira, yang menjadi peguam pemerhati untuk mangsa, dilaporkan berkata pengguguran kes tersebut atas sebab teknikal adalah satu tamparan besar kepada mereka.

Apatah lagi selepas mengambil kira betapa sukarnya bagi mangsa gangguan seksual untuk bersuara, katanya.

"Kami terkejut dan kecewa dengan perkara ini yang atas sebab teknikal, pelepasan diberikan," katanya seperti dipetik The Star Online.

Mengambil kira keadaan anak guamnya sebagai seorang perempuan yang berdepan pakar psikiatrinya sendiri yang didakwa mengganggunya secara seksual, beliau berkata mahkamah sepatutnya tidak begitu bertegas dalam membuat keputusan itu atas sebab teknikal.

Tertuduh ialah doktor pakar psikiatri Dr Gurdeep Singh yang berdepan tuduhan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan seorang bekas pesakitnya.

Menurut laporan Malay Mail pada 18 Oktober lalu, dia dituduh mengeluarkan perkataan lucah kepada bekas pesakitnya di Thomson Hospital Kota Damansara kira-kira pada pukul 4.30 petang, 12 Februari 2019.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.