Skip to main
Logo Malaysiakini

S'pura dakwa juragan Malaysia, 2 warga Indonesia kerana masuk secara haram

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Seorang juragan Malaysia dan dua penumpang bot warganegara Indonesia yang ditangkap di perairan Singapura pada hujung minggu akan didakwa hari ini atas tuduhan masuk secara haram ke negara berkenaan, lapor Today Online.

Laporan media singapura itu memetik polis Singapura sebagai berkata bahawa warga Malaysia yang berusia 39 tahun itu juga dalam siasatan kerana terlibat dalam perniagaan atau perdagangan membawa pendatang tanpa izin ke Singapura.

Polis Singapura berkata siasatan awal mendedahkan bahawa kedua-dua warga Indonesia itu merancang untuk memasuki Malaysia secara haram bagi mencari pekerjaan.

Menurut laporan itu lagi, Polis Pengawal Pantai Singapura pada mulanya melihat dua orang melompat dari bot manakala yang ketiga masih berada di atas bot.

Tidak lama selepas itu, seorang lelaki yang telah melompat ke dalam perairan diperhatikan telah berenang kembali ke bot.

Polis Pengawal Pantai kemudiannya memintas bot itu, dan seterusnya menangkap seorang lelaki Indonesia berusia 44 tahun dan wanita Indonesia berusia 41 tahun.

Warga Malaysia itu kemudian dilaporkan ditahan dan ditangkap di sekitar perairan Eastern Buoy.

Sekiranya disabitkan bersalah, ketiga-tiga mereka boleh dipenjara sehingga enam bulan dan sekurang-kurangnya tiga kali sebatan.

Sementara itu, sabitan terhadap warga Malaysia kerana terlibat dalam perniagaan atau perdagangan membawa pendatang tanpa izin ke Singapura boleh dikenakan hukuman antara dua dan lima tahun penjara dan tiga kali sebatan.

Laporan media sebelum ini mengenal pasti pelbagai lokasi di daerah Batam, Indonesia yang bersempadan dengan Singapura dan Malaysia menjadi tempat pendaratan dan tempat yang popular bagi pendatang tanpa izin yang menuju ke Malaysia.