Skip to main
Logo Malaysiakini

ROS batal penggantungan MTUC

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) Selangor membatalkan penggantungan sementara MTUC yang dikenakan pada 19 Dis tahun lalu.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden MTUC Abdul Halim Mansor dan setiausaha agungnya, J Solomon hari ini menyatakan bahawa MTUC telah menerima surat pada hari Selasa yang juga memaklumkan bahawa ROS tidak akan mengambil tindakan untuk membatalkan pendaftaran MTUC.

"ROS berkata kedua-dua keputusan itu diambil kerana ia berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan MTUC, yang turut disokong oleh dokumen yang dikemukakan sebagai mengulas terhadap beberapa isu yang dibangkitkan oleh ROS yang timbul daripada aduan oleh individu tertentu yang tidak puas hati," menurut kenyataan itu.

Dalam surat tersebut, ROS juga mengarahkan MTUC untuk mengeluarkan makluman relevan dalam kadar yang segera untuk mengadakan Persidangan Perwakilan Tritahunan (TDC) mengikut perlembagaannya.

TDC juga akan menyaksikan MTUC, yang mendakwa mempunyai setengah juta pekerja, mengundi untuk tempoh tiga tahun yang baru.

Dalam surat itu, RoS juga mengatakan bahawa ia akan memantau MTUC, terutamanya dalam memastikan TDC diadakan mengikut peraturan dan syarat yang ditetapkan dalam perlembagaan MTUC.

"Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ROS kerana membatalkan penggantungan itu dan tidak meneruskan langkah untuk membatalkan pendaftaran MTUC.

"Kami sangat gembira kerana ROS tidak hanya menerima penjelasan kepada kami tentang isu-isu yang telah dibangkitkan tetapi juga membuat keputusan dengan cepat demi kepentingan pekerja dan kesatuan sekerja di negara ini," kata Abdul Halim dan Solomon.

Mereka mengatakan bahawa keputusan ROS itu dapat membenarkan MTUC menjalankan fungsinya secara bertanggungjawab..

Mereka menambah bahawa berkenaan dengan TDC, kepimpinan MTUC telah memanggil mesyuarat khas jawatankuasa khas pada 2 Feb.

"Pada mesyuarat ini, majlis akan memutuskan semua perkara dan persiapan yang berkaitan dengan TDC, sejajar dengan peraturan perlembagaan MTUC," kata mereka.