Skip to main
Logo Malaysiakini

Bicara kes ahli DAP sokong LTTE bermula Februari ini

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan tujuh hari bermula 24 Feb untuk perbicaraan kes ahli DAP, V Suresh Kumar yang didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE melalui aplikasi Facebook, tahun lepas.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan 24 hingga 27 Feb dan 9 hingga 11 Mac untuk perbicaraan kes itu semasa pengurusan kes tersebut hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Low Qin Hui memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya menyediakan sekurang-kurangnya 15 saksi dan penyataan saksi akan diserahkan kepada pihak pembelaan sebelum perbicaraan bermula.

Di mahkamah tinggi lain, Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan perbicaraan pada November, bermula 2 hingga 5, 9 hingga 12, 16 hingga 19 dan 23 hingga 26 untuk kes peniaga B Subramaniam, 57, yang didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dengan cara menggunakan aplikasi Facebook, pada 2019.

“Perbicaraan akan dijalankan pada 10 pagi hingga 4.30 petang,” kata hakim semasa pengurusan kes itu. Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd Saifuddin Hashim Musaimi manakala peguam Ramkarpal Singh mewakili Subramaniam.

Mohd Saifuddin memberitahu mahkamah bahawa seramai 15 saksi akan dipanggil memberi keterangan.

Mahkamah juga menetapkan 29 Jan bagi keputusan permohonan jaminan yang difailkan tertuduh bulan lepas selepas mendengar hujahan daripada Ramkarpal.

Suresh Kumar, 44, dan Subramaniam, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dengan cara menggunakan aplikasi Facebook berbeza iaitu atas nama ‘US SUBRA SUBRAMANIAM’ dan ‘Rocketsuresh Dap’.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Pegawai Penyiasat Bahagian E8 (M) Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, pada 5.30 petang dan 6 petang, 7 dan 10 Okt 2019

Mereka didakwa mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

- Bernama