Politik dan pendidikan satu landasan - VC UiTM
WAWANCARA | Tatkala ada yang bersuara bahawa politik dan pendidikan tidak seharusnya bergerak di atas landasan yang sama, lain pula ceritanya apabila bercakap mengenai perjuangan untuk mempertahankan hak sesuatu bangsa - Melayu dan Bumiputera.
Mengulas perkara ini, Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Dr Mohd Azraai Kassim berkata, beliau tidak menolak hakikat perkara itu, menjelaskan politik dan pendidikan berada dalam satu landasan.
Ini kerana, katanya, UiTM berikrar untuk terus mempertahankan hak orang Melayu dan Bumiputera.
Tambah beliau, dalam konteks UiTM - semua pihak harus berbalik semula kepada matlamat asal UiTM iaitu memperjuangkan hak dan agenda orang Melayu dan Bumiputera.
Bagaimanapun, pendidikan harus dijadikan sebagai keutamaan dan tidak terlalu terlibat secara aktif dalam mana-mana program yang bersifat politik hingga tersasar dari landasan sebenar UiTM.
“Institusi seperti UiTM sukar nak dipisahkan daripada politik…sebab ia dibina atas dasar misi tertentu untuk membantu orang Melayu dan Bumiputera agar mereka tidak ketinggalan dan terlibat dalam lanskap ekonomi negara.
“Pendidikan perlu dilihat dan dinilai sebagai satu institusi mulia untuk mendidik, membimbing dan membentuk insan yang berilmu, mahir dan matang dalam kehidupan untuk agama, bangsa dan negara,” katanya kepada Malaysiakini, di Bangunan Canseleri UiTM Shah Alam.
UiTM - sebuah universiti yang termaktub segala keistimewaannya di dalam Akta Universiti Teknologi MARA 1976 (Akta 173) dan Perlembagaan Persekutuan tidak pernah terlepas dari menjadi tuntutan pihak tertentu.
Mohd Azraai menegaskan bahawa penubuhan UiTM dan segala hak eksklusif yang dimiliki kekal sebagai sebuah institusi yang mempertahankan agenda orang Melayu dan Bumiputera.
“UiTM satu-satunya universiti yang Canselornya adalah atas jawatan DYMM Yang Dipertuan Agong.
“Ini bermakna, status UiTM akan sentiasa dipelihara dan dijamin dengan DYMM Yang Dipertuan Agong menjadi Canselornya,” katanya.
Oktober tahun lalu, penglibatan empat Universiti Awam seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan UiTM secara terus terhadap sebuah dinamakan Kongres Maruah Melayu menjadi pertikaian pihak tertentu dan parti politik bukan Melayu.
Ia susulan dakwaan terhadap institusi pendidikan yang sengaja dipolitikan dan menggunakan universiti awam untuk menganjurkan kongres tersebut.
Ditanya berkenaan perkara itu, Mohd Azraai tidak memberi jawapan khusus, bagaimanapun, apa sahaja hal yang berkaitan dengan perjuangan orang Melayu, maka ia wajar untuk diterima.
“Penglibatan UiTM bukan sahaja atas dasar akademik malahan, sebagai institusi pendidikan tinggi Bumiputera yang penting…UiTM wajar bersuara dalam isu-isu yang membabitkan Melayu dan Bumiputera.
“Sebaliknya, ia akan menjadi lebih pelik pula sekiranya UiTM hanya berdiam diri, tidak bersuara menyatakan sesuatu berhubung isu-isu Melayu dan Bumiputera,” katanya.
Ahli akademik berhak terlibat politik
Isu melibatkan seorang graduan di salah sebuah universiti awam tahun lalu yang lantang menyuarakan ketidakpuasan serta melabelkan naib canselor universiti itu sebagai boneka politik telah membeliakkan mata semua pihak.
Ia susulan keterlibatan naib canselor itu sempena Kongres Maruah Melayu walau hakikatnya, beliau masih bernaung di bawah institusi pendidikan yang sewajarnya bersifat neutral.
Enggan menyalahkan mana-mana pihak, seseorang perlu menjaga batas dan dan serta menggunakan saluran yang betul dan bukannya secara protes tidak tentu hala.
Malah, kongres tersebut hanyalah untuk memberi kesedaran dalam kalangan orang Melayu dan Bumiputera untuk terus kekal berdaya saing.
Bagi Mohd Azraai, beliau berfikiran terbuka dan memberi ruang terhadap mana-mana individu atau ahli akademik yang melibatkan diri dalam kancah politik - namun, ia perlu dilihat secara objektif dan adil.
“Sesetengah ahli akademik yang terlibat dengan aktiviti politik disebabkan ilmu dan bidang kepakaran mereka adalah bersangkutan politik.
“Mereka berhak untuk terlibat disebabkan ilmu dan kelayakan mereka itu dan pada waktu yang sama, mereka juga adalah tenaga pengajar di sesebuah institusi pendidikan.
“Melarang atau menidakkan mereka terlibat hanya akan memberi gambaran seolah-olah institusi pendidikan menyekat kebebasan akademik mereka,” katanya.
Meskipun adanya peluang itu, beliau berkata, keterlibatan itu harus beserta dengan tanggungjawab terhadap apa jua pandangan yang diutarakan.
“Saya benarkan staf bersuara mengenai sesuatu isu berdasarkan kepakarannya, namun, dia (ahli akademik) harus bertanggungjawab.
“Jika ada sebarang keraguan atau isu yang bersangkutan maka, ia perlu dilihat dalam kerangka akademik secara objektif dan profesional, bukannya secara dilihat secara emosional dan membuat tuduhan atau ulasan yang melulu tanpa fakta atau di luar konteks akademik.
“Berhujahlah secara tuntas dan bertanggungjawab. Ini kerana, tidak ada kebebasan yang penuh,” katanya.
Kuno anggap graduan UiTM tiada keyakinan diri
Sejak sebelum era penjajahan kuasa barat, orang Melayu telah pun membuktikan dirinya mempunyai keyakinan diri, kata Dr Mohd Azrai.
Beliau tidak bersetuju dengan dakwaan bahawa graduan UiTM kurang berkeyakinan, sebaliknya berkata ia sekadar satu persepsi tidak baik yang ditimbulkan.
Katanya, ramai graduan dan alumni UiTM yang berjaya dihasilkan sejak awal penubuhan UiTM membuktikan orang Melayu sebagaimana nenek moyangnya memang berkemahiran dan mampu berdaya saing.
“Saya anggap ia lebih kepada tanggapan kuno.
“UiTM tidak perlu pun cuba menepis atau melenting dengan tanggapan yang sedemikian kerana kita memang sudah terbukti hebat sejak sekian lama, sama ada dalam akademik, kemahiran mahupun keyakinan diri.
“UiTM adalah antara IPTA yang memang telah dikenali dan diiktiraf sudah lama menggunakan pengantar Bahasa Inggeris dalam pengajaran dan para graduannya diakui menyerlah dalam penguasaan Bahasa Inggeris oleh pihak Industri dan Kerajaan,” katanya.
Bagaimanapun, Mohd Azraai tidak menyangkal masih terdapat graduan belum mencapai piawaian dan kualiti seperti yang diharapkan, namun usaha UiTM tidak terhenti.
“Perkara ini banyak bersangkutan dengan keperibadian dan nilai seseorang graduan itu. Sebab itulah UiTM kini kami sangat tekankan dan perkenalkan nilai-nilai yang positif dan mulia di samping program-program akademik yang sedia ada.
“Contohnya, amalan integriti, ketelusan, amanah, kasih sayang dan rasa hormat adalah nilai-nilai yang kita sentiasa pupuk melalui kegiatan ko-kurikulum dan kemasyarakatan yang kita laksanakan melalui hal ehwal pelajar dan kelab-kelab pelajar,” katanya.
Matlamat dan hala tuju 2020
Dalam perkembangan lain, Mohd Azraai memberitahu pada tahun ini, UiTM akan melancarkan pelan yang dikenali sebagai Blueprint UiTM 2020-2025 yang akan digerakkan oleh seluruh warga UiTM.
Ia sebagai merangka hala tuju universiti itu dalam masa lima tahun akan datang sejajar dengan matlamatnya bagi mencapai kecemerlangan dalam pendidikan negara dan peringkat global.
“Amanat yang kita akan sampaikan ialah seluruh warga UiTM sudah lebih daripada bersedia untuk ke arah pencapaian yang gemilang. Seluruh warga UiTM akan digerakkan dan bergerak ke arah merealisasikan Blueprint UiTM 2020-2025.
“Ia juga adalah Road Map UiTM untuk menggilap segala potensi yang ada; mencapai kecemerlangan dalam pendidikan negara dan di peringkat global. Dengan kata lain, UiTM mahu menjadi Universiti Berprestasi Tinggi, juga terkenal di peringkat antarabangsa,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai