Polis rakam kenyataan Latheefa hampir 4 jam isu rakaman suara Najib
Polis menghabiskan hampir empat jam di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, bagi menyoal Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya dan enam pegawai lain, berhubung rakaman audio yang melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak.
Pasukan daripada Bahagian Siasatan Khas CID Bukit Aman juga merakam kenyataan daripada Timbalan Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.
Mengikut kenyataan media petang ini, SPRM berkata mereka disoal secara berasingan dari jam 2.45 petang hingga 6.30 petang tadi.
Pasukan 10 anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) tiba di ibu pejabat SPRM di Putrajaya kira-kira jam 2.30 petang ini.
Isnin lepas, seorang pegawai SPRM membuat laporan polis mendakwa terdapat komplot untuk menjatuhkan maruah dan integriti Latheefa selepas beliau mendedahkan rakaman kontroversi itu.
Pegawai itu juga menyerahkan senarai nama yang didakwa terlibat dalam komplot tersebut, termasuk beberapa peguam. Identiti mereka tidak didedahkan kepada media.
Pada 8 Jan, Latheefa mengadakan sidang media untuk mendedahkan audio perbualan selepas rakaman disahkan sebagai sahih.
Dikatakan, perbualan tersebut berlaku antara Januari hingga Julai 2016, Najib didapati dalam satu klip meminta putera Emiriyah Arab Bersatu untuk membantu melindungi anak tirinya Riza Aziz daripada siasatan Jabatan Kehakiman AS(DOJ) terhadap 1MDB.
Dalam klip lain, bekas ketua SPRM Dzulkifli Ahmad membincangkan siasatan 1MDB dengan Najib, isterinya Rosmah Mansor dan bekas pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Rahim.
Rakaman itu dikatakan dibuat ketika Dzulkifli masih menjadi timbalan pendakwa raya.
Pendedahan klip ketiga adalah perbualan antara Najib dan isterinya, yang antaranya Rosmah didapati ada meninggikan suara ketika memberi nasihat kepada suaminya mengenai isu 1MDB.
SPRM kemudian membuat laporan polis dan menyerahkan rakamannya kepada pihak berkuasa. SPRM berkata mereka menerima rakaman tersebut daripada sumber yang tidak didedahkan.
Walaupun Latheefa mendakwa rakaman itu mendedahkan konspirasi dan penyalahgunaan kuasa berhubung dengan 1MDB, namun Najib berhujah bahawa perbualan membuktikannya dirinya tidak berbohong.
Najib juga memulakan prosiding penghinaan mahkamah terhadap ketua SPRM itu.
Najib kini sedang dibicarakan berhubung skandal 1MDB.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai