Skip to main
Logo Malaysiakini

Karim: Terserah kebijaksanaan pengundi tentu masa depan Kimanis

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PRK KIMANIS |  Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis Karim Bujang menyerahkan sepenuhnya kepada para pengundi bagi menentukan masa hadapan kawasan parlimen itu untuk tempoh tiga tahun akan datang sebelum Pilihan Raya Umum (PRU 15).

“Sebagai individu yang cukup lama bergelumang dalam arena politik negeri Sabah, adalah wajar bagi saya menyerahkan kepada para pengundi untuk menentukan masa hadapan Kimanis.

“Kita tidak harus memilih jalan yang tidak disenangi pengundi dalam membuat pemilihan… saya cukup yakin pengundi cukup matang dalam membuat keputusan apabila (tiba) tarikh pengundian pada Sabtu ini,” katanya kepada Bernama di Labuan, hari ini.

Karim berkata pengalaman masyarakat Sabah termasuk di Kimanis dalam peralihan kuasa pentadbiran negeri sebelum ini, membolehkan rakyat umumnya, telah melalui proses kematangan berfikir dalam membuat pemilihan pucuk pimpinan, sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri, Parlimen dan Kerajaan Negeri.

Karim pernah menjadi ahli Dewan Undangan Negeri Bongawan selama lima penggal dari tahun 1990 hingga 2013 selain pernah menjawat jawatan kanan dalam Kabinet negeri Sabah sebagai Pembantu Menteri Kewangan.

“Sepanjang kempen yang diadakan sebaik selepas hari penamaan calon, saya melihat rata-rata penduduk inginkan pembaharuan dalam aspek pentadbiran di dua daerah Bongawan dan Membakut.

“Saya tidak menafikan ada juga sebilangan mereka mengutarakan permasalahan dalam proses pelantikan majlis perwakilan ketua kampung, yang kita ambil perhatian sebab ianya mempunyai kepentingan kepada penduduk kampung,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi PRK Kimanis ‪pada 18 Jan ini.

Parlimen Kimanis mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) - Bongawan dan Membakut - dengan jumlah 29,664 pemilih layak mengundi, termasuk sembilan pengundi awal (pada 14 Jan lepas) dan seorang pengundi tidak hadir yang berada di luar negara.

Pemilih terdiri daripada 14,800 lelaki dan 14,864 perempuan dengan DUN Bongawan mempunyai 16,273 pemilih dan DUN Membakut 13,391 pemilih.

Pengkaji politik antarabangsa dan tempatan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Romzi Ationg berkata kenyataan Karim menyerahkan kepada para pengundi dalam membuat pemilihan Sabtu ini adalah bertepatan dengan prinsip kematangan berpolitik.

“Sebenarnya, Karim Bujang telah menunjukkan perjuangan politik yang serius apabila kita melihat beliau memfailkan petisyen pilihan raya pada 18 Jun tahun lepas untuk mencabar keputusan pilihan raya itu.

“Melalui petisyen itu, beliau dilihat mahu kembali berkhidmat untuk rakyat, dan oleh yang demikian, Karim Bujang harus diuji dengan sekurang-kurangnya satu penggal untuk buktikan beliau boleh berkhidmat untuk rakyat,” katanya.

Katanya, meskipun pelbagai isu dibangkitkan sepanjang kempen PRK, para pengundi Kimanis dilihat boleh menilai setiap isu yang dipropagandakan oleh pelbagai pihak.

Timbalan ketua wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah Dayang Rainey Datuk Mohd Din berkata pengundi Kimanis telah menunjukkan kebijaksanaan sepanjang kempen oleh kedua-dua parti yang bertanding.

“Saya sendiri terlibat dalam kempen PRK Kimanis, dan saya harus akui, pengundi di kawasan Parlimen ini tidak mudah diperdayakan dengan janji-janji atau propaganda politik.

“Mereka sendiri memberitahu saya (ketika tidak memakai baju seragam parti) bahawa mereka tahu menilai setiap isu yang sedang hangat diperdebatkan.

“Oleh itu, apa yang Karim Bujang katakan akan diserahkan kepada pengundi buat pemilihan, ianya satu kematangan berpolitik,” katanya yang juga ketua wanita PKR Labuan.

- Bernama