Skip to main
Logo Malaysiakini

Pahang cadang takung air sungai jadi sumber hasil baru

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kerajaan negeri Pahang bercadang menakung 80 peratus air mentah negeri ini yang mengalir ke Laut Cina Selatan setiap hari, tanpa dimanfaatkan.

Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah dimaklumkan supaya menjalankan kajian berhubung perkara itu yang dilihat dapat menjadi sumber hasil baru kepada kerajaan negeri.

Katanya kajian sebelum ini mendapati air mentah dari lembangan sungai negeri ini khususnya Sungai Pahang, Sungai Kuantan dan Sungai Rompin menyumbang kira-kira 12.661 juta meter padu sehari yang berkesudahan dengan aliran keluar ke laut.

"Sedangkan, keperluan penduduk Pahang untuk bekalan air dirawat sehingga tahun 2050 cuma kira-kira 1.888 juta meter padu sehari yang bermaksud 12.661 juta meter padu sehari itu adalah lebih daripada memadai bagi menampung keperluan air terawat negeri ini.

"Alangkah baiknya kalau sumber air mentah ini ditakung untuk kegunaan dalam negeri... yang lebihan kemudiannya boleh disalurkan atau dijual ke negeri lain," katanya semasa berucap pada Program Lead Pahang dan merasmikan Institut Kepimpinan Strategik Tun Ghazali Shafie di Kompleks Yayasan Pahang di sini, hari ini.

Wan Rosdy berkata penubuhan Institut Kepimpinan Strategik Tun Ghazali Shafie bertujuan menyediakan platform bagi pemimpin untuk bertukar-tukar fikiran dalam melaksanakan pembangunan di negeri ini.

- Bernama