G25 perjelas laporan tentang murtad, Jakim
ULASAN | G25 ingin memberi respon kepada pelbagai komen serta kritikan yang dibangkitkan di media sosial berikutan penerbitan laporan terbaru kami berjudul “Administration of Matters Pertaining to Islam”.
Laporan yang dilancarkan pada 11 Januari 2020 di Persatuan Alumni Universiti Malaya (Paum) dihadiri oleh individu, badan bukan kerajaan, pihak luar negara seperti diplomat dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan juga media.
Pelancaran laporan disusuli dengan perbincangan tiga ahli panel yang dipengerusikan dengan lancarnya oleh seorang ahli kami yang berpengalaman. Panel juga dapat berinteraksi dengan para hadirin melalui soalan serta komen yang dikemukakan dalam sesi soal jawab.
Laporan yang diusahakan untuk menangani isu-isu utama berkaitan dengan pentadbiran Islam di negara, terutama untuk mencerahkan undang-undang yang kurang jelas yang memberi kesan dalam penerapan syariat Islam dalam dasar pentadbiran awam.
Dalam meneliti kepentingan ini, para penyelidik telah mengkaji latar belakang dan sejarah pentadbiran Islam yang direkodkan melalui kertas kerja, artikel, perbincangan dan perundingan di kalangan pihak berkepentingan termasuklah Raja-raja Melayu dan pemimpin politik yang merangka perlembagaan untuk Tanah Melayu yang merdeka.
Kajian ini khususnya merujuk kepada Laporan Suruhanjaya Reid, memorandum Parti Perikatan dan cadangan-cadangan dari Jawatankuasa Kerja Perlembagaan yang dilantik oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, kerajaan British dan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.
Penyelidik kami telah membuat kesimpulan yang sama seperti yang dibuat oleh para penyelidik terdahulu, iaitu pada hakikatnya apabila para pengasas negara ini menjadikan Islam sebagai agama rasmi persekutuan, mereka tidak berniat menjadikan Islam sebagai asas undang-undang dan pentadbiran negara.
Atas hakikat itu kajian ini telah menyimpulkan yang Malaysia adalah sebuah negara sekular, dengan sistem pemerintahan yang seiring dengan negara-negara Komanwel yang berdemokrasi.
Tambahan pula, bapa kemerdekaan Tunku Abdul Rahman memberi jaminan kepada Raja-raja Melayu bahawa walaupun Perlembagaan Persekutuan menjadikan Islam agama Persekutuan, ia tidak menjejaskan bidang kuasa Raja-raja Melayu sebagai ketua agama di negeri masing-masing.
Apabila Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia pada 1963, Suruhanjaya Cobbold memberi jaminan Islam tetap sebagai simbol negara, bukan sebagai asas pentadbiran kerajaan.
Dapatan-dapatan kami mengenai isu murtad dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dicapai dalam konteks peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia telah mengundang pelbagai andaian dan kritikan dari sebilangan besar ahli agama dan ahli politik termasuk para menteri, dicapai dalam konteks peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Perbezaan takrifan murtad
Berkenaan murtad, kami ingin tegaskan yang G25 tidak setuju dan tidak menggalakkan umat Islam meninggalkan agama. Sebaliknya, kami berpendapat yang murtad adalah dosa besar dalam Islam dan umat Islam harus tetap setia kepada agama secara peribadi mahupun umum.
Mereka yang berniat untuk meninggalkan Islam haruslah diyakinkan agar tidak berbuat demikian kerana ia adalah dosa besar. Akan tetapi jika mereka masih berkeras, terutama dari kalangan mualaf, mereka harus dibenarkan kerana Perlembagaan menjamin kebebasan beragama, bukan sahaja kepada yang bukan Islam, tetapi kepada semua rakyat Malaysia.
Negara Islam seperti Maghribi tidak menjadikan murtad satu kesalahan jenayah kerana mengikut konteks intepretasi mereka, murtad membawa maksud pengkhianatan.
Di zaman Rasullullah, adalah relevan untuk menjadikan murtad satu kesalahan yang dihukum bunuh kerana ada umat Islam pada zaman itu yang bersifat pengkhianat dan mengikut pihak seteru untuk menentang Rasulullah dan kerajaan Islam waktu itu. Ia adalah keadaan politik semasa, bukan doktrin agama. Oleh kerana murtad beserta khianat (berbanding meninggalkan agama sahaja) dianggap sebagai pengkhiatan tahap tinggi pada masa itu, wajar hukuman mati dijatuhkan. Merujuk kepada penguatkuasaan agama Maghribi, hukuman ini tidak lagi sesuai diguna pakai di zaman moden ini.
Jakim dan kuasa negeri
Berkenaan JAKIM, G25 tidak menyarankan ia dimansuhkan tetapi memandangkan Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan kuasa kepada Majlis Raja-raja untuk menubuhkan Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI), kami telah mencadangkan jika Raja-raja Melayu berkenan untuk mendapatkan kuasa untuk mewujudkan majlis sebegitu dan meletakkan JAKIM sebagai sekretariatnya, majlis itu boleh melakukannya melalui Parlimen untuk membuat pindaan kepada Perkara 38.
Jika ini dapat dilakukan dengan sendirinya langkah ini akan meningkatkan lagi peranan Majlis Raja-raja, terutama dalam hal-hal berhubung dengan pentadbiran Islam di Malaysia. Kini pernyataan kuasa di bawah Peruntukan 38 di dalam perlembagaan tentang apa yang boleh dilakukan oleh Majis Raja-raja adalah amat spesifik.
Ini menunjukkan yang penggubal Perlembagaan berniat dengan jelasnya untuk mengecualikan agama dari kuasa persekutuan kerana Raja-raja Melayu diberi jaminan yang Islam adalah di dalam bidang kuasa negeri-negeri. Pakar-pakar perundangan kami berpegang kepada Perkara 38 yang nyata dan memenuhi kehendak Raja-raja Melayu agar tiada kuasa diberi kepada Majlis Raja-raja untuk menubuhkan badan atau jabatan untuk pengelolaan agama Islam di peringkat persekutuan.
Tambahan pula, merujuk kepada kebimbangan Majlis Raja-raja berkenaan implikasi Perkara 3 ke atas hak Istimewa Raja-raja Melayu di negeri-negeri Baginda, penggubal perlembagaan memberi jaminan yang jika ada satu badan atau Majlis yang ditubuhkan di peringkat persekutuan, ia hanyalah terhad bagi tujuan perhubungan (liaison) semata-mata. Secara ringkas, perkara berkenaan Islam yang tertera di Jadual 9, Senarai II Perlembagaan Persekutuan berada di bawah bidang kuasa eksklusif negeri-negeri, dan bukan di peringkat persekutuan atau kerajaan persekutuan.
Kami menyambut baik pindaan untuk mengiktiraf Jakim di dalam perlembagaan. Jabatan peringkat persekutuan ini yang terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri mempunyai belanjawan besar - lebih besar dari belanjawan beberapa kementerian. Amatlah membingungkan, dan dari segi undang-undang membawa risiko kepada kerajaan, jika ada yang mempersoalkan tentang kesahan peruntukan dana awam kepada Jakim, dan membawa soal kesahan penubuhan Jakim sendiri dari segi undang-undang. Kami di G25 percaya yang kami bersikap positif dan konstruktif apabila membangkitkan isu ini kepada kerajaan.
Kami berasa kesal kerana malangnya ada para pengkritik di media sosial yang memilih untuk hanya membangkitkan dapatan kajian berkenaan keperlembagaan Jakim, tanpa melihat seluasnya aspek-aspek lain yang mengandungi cadangan dan langkah untuk mengiktiraf Jakim di sisi perlembagaan.
Laporan G25 juga membandingkan perkara itu dengan satu lagi perkara di bawah bidang kuasa negeri, iaitu tanah. Perlembagaan Persekutuan memberi peruntukan kepada Perkara 91 untuk menubuhkan Majlis Tanah Negara walaupun tanah adalah di bawah bidang kuasa negeri.
Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 76(4) memberi kuasa kepada Parlimen untuk menggubal Kanun Tanah Negara, yang memberikan kuasa intervensi kerajaan persekutuan, dalam mengadakan suatu sistem pemegangan dan urusan tanah yang berupaya menyeragamkan hal-hal berkaitan dengan dasar dan perundangan tanah.
Di sini G25 juga mencadangkan yang Perlembagaan Persekutuan (dengan persetujuan negeri-negeri, kerana Islam adalah di bawah bidang kuasa negeri) dipinda untuk menubuhkan satu badan yang seiring dengan Majlis Tanah Negara. Badan ini boleh di namakan ‘Majlis Islam Negara’ yang berfungsi selari dengan Majlis Raja-raja dalam urusan berkaitan Islam dan dengan fungsi Jakim yang sah di sisi undang-undang dalam kerangka Majlis Islam Negara.
Selain itu, jika perlu Parlimen seterusnya boleh menggunakan Perkara 76(1)(b) untuk menggubal undang-undang untuk menyeragamkan undang-undang berkaitan Islam di negeri-negeri, kerana pada masa ini ada banyak kekurangan dari segi penyeragaman undang-undang Islam di negeri-negeri.
Kami dengan tangan terbuka menerima baik pelbagai komen mengenai dapatan kajian dalam laporan kami kerana percaya dengan wujudnya dialog dan pertukaran fikiran yang terbuka, ia dapat memantapkan lagi pentadbiran Islam di negara ini dan dapat dijadikan model rujukan untuk penggubalan dan penyenggaraan dasar umum di zaman moden.
G25 adalah kumpulan yang terdiri daripada pesara penjawat awam kanan.
Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pendapat penulis yang tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai