E-Tunai Rakyat: Maklum balas orang ramai berbeza ikut usia
TINJAUAN | Kira-kira 15 juta rakyat Malaysia layak menuntut wang RM30 pemberian kerajaan daripada mana-mana tiga pengendali e-dompet terpilih iaitu Grab, Boost, dan Touch 'n Go.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, kerajaan memperuntukan RM450 juta bagi tujuan itu di bawah pelaksanaan program e-Tunai Rakyat.
Tinjauan Malaysiakini mengikut kategori generasi umur yang berbeza di sekitar Lembah Klang dan Shah Alam memperlihat pandangan yang pelbagai berkenaan penggunaan e-dompet tersebut.
Bagi golongan usia 50an, mereka menyifatkan pemberian bantuan oleh kerajaan menerusi e-dompet itu melecehkan.
Menurut pesara Abdul Aziz Bahnan, 59, penggunaan e-dompet bagi memberi bantuan kepada rakyat dirasakannya sebagai satu usaha yang tidak cekap kepada masyarakat pada peringkat umurnya.
Katanya, golongan komuniti yang berusia tidak terlalu terdedah dengan teknologi canggih di Malaysia.
Cara lama beratur, isi borang
“Pakcik tahu berkenaan e-Tunai Rakyat itu, tetapi susah sebab bukan tahu nak guna macam mana.
“Orang macam pakcik, lagi suka kalau bagi duit masukkan dalam akaun saja. Kerajaan nak bantu itu sudah okay, tetapi jangan dengan proses macam ini. Dia sukarkan golongan tua macam kami,” katanya yang merupakan penduduk di Klang.
Jelasnya lagi, dia lagi gemar dengan cara bantuan yang diberikan kerajaan terdahulu seperti beratur dan mengisi borang.
“Pakcik lagi suka style dulu, beratur, isi borang. Senang kita tahu duit masuk dekat mana. Macam ini leceh lah,” katanya lagi.
Selain itu, peniaga R Selvam, 52, memberitahu Malaysikini penggunaan e-dompet tidak banyak membantu warga emas.
Tambahnya, dia juga tidak tahu bagaimana untuk mengambil wang bantuan tersebut dan berasakan ia satu proses yang melecehkan.
“Saya mahu itu duit, tetapi proses dia leceh lah,” katanya ketika ditemui di kawasan Seksyen 2, Shah Alam.
Program e-Tunai Rakyat diumumkan oleh kerajaan persekutuan semasa pembentangan Bajet 2020 dengan tujuan memberi galakan kepada penggunaan e-dompet di kalangan orang ramai.
Ia sejajar dengan agenda Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) kerajaan, yang bertujuan mengurangkan halangan untuk mengakses teknologi digital dan menjadikan proses pendigitalan inklusif kepada semua.
Rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas yang berpendapatan kurang daripada RM100,000 setahun, layak untuk menerima wang e-tunai itu melalui mana-mana e-dompet yang mengambil bahagian.
Sementara itu, rakyat di kalangan umur 20-an menjelaskan bahawa penggunaan e-dompet itu satu kegunaan yang mudah dan sejajar dengan perkembangan terkini dunia yang moden.
Nur Intan Syafiqah Abdullah, 25 (gambar, atas) berkata penyaluran bantuan melalui e-dompet banyak menolongnya sebagai pelajar kerana kaedah pemberiannya tidak seperti proses terdahulu.
Tambahnya, dia juga dapat membuat permohonan bagi mendapatkan bantuan itu dengan cepat kerana boleh dilakukan menerusi telefon secara mudah.
“Senang, kami kadang pelajar ni leceh nak beratur apa semua. Pakai telefon saja,” katanya yang merupakan pelajar kejuruteraan mekanikal di sebuah universiti awam
Turut senada, Adam Azreeq Ismail, 22, juga mengakui sudah menuntut wang tersebut sejurus selepas permohonan e-dompet itu dibuka.
“Saya dah redeem duit itu, senang sebab simple saja proses dia,” katanya kepada Malaysiakini.
Menurut seorang pensyarah di IPT, Nurul Iman Muhammad Dimyati, 30 (gambar, atas) terpulang kepada golongan umur sepertinya yang ingin mempelajari teknologi tersebut.
Jelasnya, terdapat segelintir golongan seusianya yang masih tidak tahu menggunakan teknologi tersebut.
“Tidak semua yang tahu kalau ikut umur saya, ada juga yang masih lemah, ikut mereka sama ada nak belajar atau tidak lah,” katanya.
Difahamkan pengendali e-dompet cuba mendapatkan sebanyak mungkin pelanggan yang layak agar menuntut wang RM30 pemberian kerajaan melalui perkhidmatan syarikat mereka.
Ketiga-tiga firma berkenaan - Grab, Boost, dan Touch 'n Go - yang terlibat dalam skim itu telah melancarkan pelbagi insentif untuk menarik orang ramai supaya mendaftar e-dompet.
Manakala, jika dilihat dari kategori umur pertengahan iaitu diantara 30 hingga 40 tahun, kebanyakan mereka yang ditemui Malaysiakini berkata penggunaan e-dompet ini menyenangkan cuma tidak semua golongan umur mereka yang celik teknologi maklumat.
Bagi Mohamed Hamzani Mohamed Izzamudin (gambar, atas) pula, e-dompet ini sangat berguna malah memudahkan tugasnya.
“Saya sebagai golongan dalam umur 30 tahun ini, rasa senang dan cepat bila ada e-dompet,” katanya yang juga merupakan seorang pensyarah.
Selain itu, Shifa Faizal, 40 pula berkata dorongan kepada rakyat untuk menggunakan e-dompet wajar hadir bersama didikan kepada rakyat terutamanya golongan tua.
“Kita pun yang umur macam ini tiada yang tahu sangat, lagi orang tua. Lagi mereka rasa payah.
“Jadi saya rasa wajar didik golongan tua ini jugalah, biar mereka juga tahu bagaimana nak 'hidup' dalam dunia yang penuh dengan teknologi ini,” katanya.
Untuk makluman, RM30 bantuan e-tunai itu mesti dibelanjakan antara 15 Jan dan 14 Mac, 2020, dan baki yang tidak dibelanjakan akan luput selepas tempoh tersebut
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai