Skip to main
Logo Malaysiakini

Khutbah: Pemimpin boleh wajibkan rakyat bayar cukai

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Teks khutbah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) hari ini menyorot kepentingan percukaian untuk membangunkan negara.

Teks khutbah itu mengingatkan bahawa, Islam tidak menolak sistem percukaian yang telah diamalkan setiap negara selagi ia tidak bertentangan dengan syariat.

Memetik Imam Al-Syaukani yang menjelaskan maksud surah al-Kahfi ayat 94, teks khutbah itu menjelaskan bahawa ayat berkenaan menjelaskan bahawa pemimpin perlu mengumpulkan sumber pendapatan negara bagi memelihara kepentingan umum negara dan rakyat.

"Bahkan pemimpin boleh mewajibkan rakyat untuk mengeluarkan sebahagian harta mereka. Ini termasuklah pemimpin boleh mewajibkan rakyat membayar cukai.

"[...] Cukai hakikatnya ialah bayaran yang dibayar oleh rakyat untuk kebajikan diri mereka sendiri.

"Justeru ia secara tidak langsung adalah suatu bentuk kerjasama antara rakyat dengan kerajaan untuk kepentingan bersama," jelas khutbah itu.

Tambah teks khutbah itu lagi, warganegara yang prihatian bertanggungjawab kepada negara melalui pembayaran cukai.

Teks bertajuk 'Pembangunan Negara Tanggungjawab Bersama' itu hadir beberapa hari sebelum Hari Kastam Sedunia disambut pada 23 Jan ini.

Khutbah itu turut menyorot bahawa Jabatan Kastam Diraja Malaysia merupakan agensi yang memainkan peranan yang penting kepada negara.

Selain membantu membangunkan kemudahan infrastruktur melalui kutipan cukai, jabatan itu juga bertanggungjawab membanteras penyeludupan dan penyelewengan.

"Dengan demikian hasil negara serta kepentingan masyarakat sentiasa dipelihara dan dilindungi tanpa menganggu transaksi perdagangan yang sah.

"[...] Justeru, bersempena dengan Hari kastam Sedunia ke-38, marilah kita sama-sama memberikan komitmen sebaik mungkin, turut sama dalam membasmi jenayah perdagangan, menolak amalan rasuah dan penyelewengan bagi membantu membentuk persekitaran kondusif dan selamat untuk pembangunan ekonomi," jelas khutbah itu.

Teks khutbah penuh boleh dibaca di sini