Turki kerah tentera ke Libya
GLOBAL | Turki mengerahkan tenteranya ke Libya untuk menyokong Kerajaan Perpaduan Negara (GNA) yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berpangkalan di Tripoli, kata Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan pada Khamis, lapor agensi berita Xinhua.
"Kami menghantar tentera ke Libya untuk memastikan kelangsungan dan kestabilan kerajaan yang sah di negara itu," kata Erdogan pada Mesyuarat Penilaian Tahunan 2019 di Pusat Kongres Kebangsaan dan Kebudayaan Bestepe di Ankara.
Erdogan berkata Turki juga akan memulakan penerokaan dan aktiviti pengerudian di Mediterranean timur berdasarkan kesepakatan yang ditandatangani dengan GNA.
"Kami memulakan aktiviti penerokaan dan penggerudian. Pertama, kapal penyelidikan seismik Oruc Reis akan menjalankan kajian seismik di rantau itu," ujarnya.
Pada November lalu Turki memeterai dua memorandum persefahaman, perjanjian mengenai ketenteraan dan maritim dengan Perdana Menteri GNA Libya Fayez al-Sarraj.
Pada 8 Jan, Erdogan mengumumkan Turki telah mengerahkan 35 tentera ke Libya untuk menyokong GNA bukan atas dasar berperang melawan Tentera Kebangsaan Libya (LNA), yang juga pesaing GNA.
Sejak pemberontakan yang membunuh bekas pemimpin Libya, Muammar Qaddafi pada 2011, dua kuasa muncul di Libya: satu menguasai Libya timur disokong Mesir dan UAE, satu lagi kerajaan di Tripoli yang diiktiraf PBB dan masyarakat antarabangsa.
Kerajaan di Timur dipimpin Komander Khalifa Haftar melancarkan kempen ketenteraan sejak April lalu bertujuan menguasai ibu kota Tripoli yang menjadi pusat pentadbiran GNA.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai