Skip to main
Logo Malaysiakini

PSR: K'jaan P Pinang, Gabungan Penang Tolak Tambak akan mesyuarat

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mengadakan mesyuarat dengan beberapa pihak termasuk Gabungan Penang Tolak Tambak bagi membincangkan mengenai projek tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR) pada Isnin ini di Kuala Lumpur.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri Dr Afif Bahardin akan mewakili kerajaan negeri pada mesyuarat itu.

"Kita sentiasa terlibat dengan perbincangan bersama unit nelayan dan persatuan nelayan… bila sampai masanya, kita akan membuat pengumuman nanti. Buat masa ini segala proses perbincangan dan rundingan masih berjalan," katanya kepada pemberita selepas melawat Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Pusat Kanak-kanak Istimewa di Permatang Damar Laut, dekat George Town, Pulau Pinang hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai penyerahan memorandum Gabungan Penang Tolak Tambak oleh Koordinator Penang Forum, Khoo Salma Nasution kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) bagi membantah cadangan berhubung projek PSR bagi membina tiga pulau buatan itu, semalam.

Memorandum itu antara lain meminta SUHAKAM menyiasat sekiranya terdapat tekanan yang diberikan terhadap persatuan nelayan dalam menyuarakan bantahan dan ketidaksetujuan mereka terhadap projek tersebut.

Projek PSR dicadangkan bertujuan mewujudkan bank tanah untuk membiayai projek Pelan Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP). Difahamkan jangka masa projek tebus guna itu adalah selama 15 tahun dan keseluruhan projek dijangka siap antara 30 dengan 50 tahun.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menerima kelulusan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi projek PSR daripada Jabatan Alam Sekitar pada 4 Julai tahun lepas.

Sementara itu, Chow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Padang Kota mengumumkan peruntukan sejumlah RM50,000 kepada Pusat Kanak-kanak Istimewa Permatang Damar Laut untuk membantu dalam projek-projek penambahbaikan pusat itu.

"Kerajaan Negeri juga akan memberi pertimbangan untuk 'top-up' elaun petugas dan penyelia di Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti agar ia akan menarik lebih ramai orang untuk berkhidmat dalam pertubuhan itu," katanya.

- Bernama