Skip to main
Logo Malaysiakini

Pengilang bantah kadar cukai tanah baru Pahang

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) Cawangan Timur membantah kenaikan cukai tanah yang tinggi terhadap pemilik tanah industri dan perniagaan di Pahang, yang berkuat kuasa tahun ini.

Pengerusi FMM Cawangan Timur Kua Jit How menggesa kerajaan negeri Pahang untuk mempertimbangkan semula kadar baru itu.

"Kenaikan mendadak cukai tanah itu telah mewujudkan kebimbangan dalam kalangan pengeluar di Pahang berikutan ia dilakukan tanpa rundingan yang wajar dengan pihak berkepentingan.

"Walaupun FMM menyokong semakan semula cukai tanah oleh kerajaan negeri, yang dibimbangkan ialah impak daripada kenaikan mendadak antara 28.57 peratus dan 3,288.18 peratus," katanya dalam kenyataan di Kuantan hari ini.

Kua berkata kenaikan tanpa rundingan yang wajar dengan pengeluar akan turut memberi impak negatif kepada pelabur.

"Kenaikan cukai tanah perlu dilakukan secara telus dengan matlamat untuk memastikan amalan pasaran yang adil dan kompetitif untuk manfaat pengeluar, pelabur dan negeri," katanya.

Pada Sabtu lepas, Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail dilaporkan berkata kerajaan negeri bersedia untuk mempertimbangkan rayuan daripada pemain industri yang berasakan kadar baru cukai tanah itu terlalu tinggi.

Beliau berkata pemilik ladang, tanah industri dan perniagaan boleh mengemukakan rayuan kepada Pejabat Tanah dan Galian Pahang dengan dokumen sokongan.

Katanya rayuan itu akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Rayuan yang akan ditubuhkan dalam masa terdekat.

Wan Rosdy berkata kali terakhir Pahang membuat semakan ke atas kadar cukai tanah ialah pada 2007 dan kadar cukai baru itu telah dikaji dengan teliti.

- Bernama