Dr Dzul: Apa pun keputusan PRK, k'jaan teruskan program reformasi
Kerajaan PH akan meneruskan agenda dan program reformasi yang telah dimulakan, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad, susulan kekalahan Warisan dalam PRK Kimanis semalam.
Dzulkefly yang juga pengarah strategi Amanah berkata itulah langkah ke hadapan yang wajar selepas PRK itu.
"Apa yang penting bagi Amanah dan PH sebagai kerajaan, kita wajar meneruskan program reformasi dan agenda yang telah dimulakan, di semenanjung dan Sabah...Kita akan teruskan agenda besar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
"Walau apa pun keputusan PRK, kita melangkah ke hadapan, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Larian Antibiotik 2020 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) Serdang, hari ini.
BN mengekalkan kerusi Parlimen Kimanis selepas Mohamad Alamin menewaskan calon Warisan Karim Bujang dengan majoriti 2,029 undi.
Mohamad memperoleh 12,706 undi berbanding Karim 10,677 undi, dengan kadar keluar mengundi mencecah 79.92 peratus, iaitu kadar tertinggi untuk 10 PRK sejak PRU ke-14.
PRK itu diadakan selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan bekas Menteri Luar, Anifah Aman pada PRU lalu.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub yang turut hadir di program itu menyifatkan keputusan itu tidaklah terlalu teruk dan partinya telah melakukan yang terbaik bagi membantu Warisan.
"Kita bertanding secara sihat, kita telah cuba yang terbaik. Mereka menang di kubu mereka dalam saingan sangat sengit.
"Kita puas hati dengan kempen, khususnya bantuan yang Amanah berikan...Saya rasa keputusannya tidak teruk." katanya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.
Diminta mengulas kenyataan PAS bahawa kemenangan itu tanda Muafakat Nasional antara Umno dan PAS semakin diterima rakyat, Salahuddin berkata: "Tidak semestinya. Satu kemenangan tidak bermaksud sama dengan (keputusan) lain. Ada banyak pilihan raya (kecil) yang harus kita teliti."
"Pastinya Warisan akan membuat post mortem (kekalahan di PRK Kimanis). Kita akan teliti bersama," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai