Harry, Meghan gugur guna gelaran rasmi diraja Britain
GLOBAL | Putera diraja Britain Harry dan isterinya Meghan tidak akan lagi menggunakan gelaran Yang Mulia (his/ her royal highness) dan berhenti menerima dana awam bagi tugas-tugas diraja, umum Istana Buckingham seperti dilapor BBC.
Pasangan itu juga tidak akan lagi secara rasmi mewakili baginda Ratu Britain.
Menurut agensi penyiaran Britain itu, pasangan tersebut juga berhasrat membayar semula £2.4 juta wang pembayar cukai yang digunakan untuk pengubahsuaian kediaman rasmi mereka di United Kingdom.
BBC memetik kenyataan istana melaporkan titah Ratu Elizabeth bahawa baginda merasa "suka cita kerana bersama-sama kami telah menemukan jalan ke hadapan yang konstruktif dan membantu untuk cucu lelaki saya dan keluarganya."
"Harry, Meghan dan (cicit) Archie akan sentiasa menjadi ahli keluarga kami yang dicintai," kata kenyataan itu.
Istana Buckingham menjelaskan pasangan itu akan terus mengekalkan naungan dan penglibatan dalam persatuan secara peribadi.
Istana juga enggan mengulas aturan keselamatan baru, selepas pasangan itu menggugurkan gelaran Yang Mulianya (HRH) itu.
Menurut laporan BBC lagi, pada awal bulan ini, Harry dan Meghan berkata mereka mahukan "peranan baru yang progresif" dalam institusi diraja Britain itu yang mana mereka dapat berdikari secara kewangan.
Tahun lalu, pasangan itu juga bercakap mengenai kesukaran kehidupan diraja dan perhatian media.
Putera itu dipetik BBC berkata beliau takut isterinya akan menjadi mangsa "pihak sama yang sangat berkuasa" yang membawa kepada tragedi kematian ibunya, Puteri Diana pada 1997.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai