Skip to main
Logo Malaysiakini

Insiden Papagomo: Ambil tindakan tegas - Asyraf

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pemuda Umno berharap pihak berkuasa akan bertindak sewajarnya susulan anggota exconya Wan Muhammad Azri Wan Deris yang didakwa dikepung sekumpulan lelaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) semalam.

Ketuanya Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkannya sebagai tindakan jenayah dan rakaman video jelas menunjukkan ada provokasi dan serangan fizikal.

"Kami menyerahkan tindakan selanjut dan sewajarnya kepada pihak berkuasa agar segera menyiasat dan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang terbabit.

"Hakikatnya budaya politik samseng ganas selepas selesainya PRK Kimanis tidak sesekali mencerminkan sifat sebenar rakyat Sabah 'original' yang terkenal dengan masyarakatnya yang harmonis bahkan tinggi nilai kesantunannya, biarpun rencam dengan pelbagai etnik dan agama," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Asyraf mendakwa pihak yang terlibat adalah penyokong Warisan yang menyokong kerajaan negeri memperkenalkan Pas Sementara Sabah (PSS), satu dokumen baru Jabatan Imigresen untuk pendatang asing bagi menggantikan dokumen sedia ada iaitu IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci.

Papagomo

Dalam kejadian semalam, Wan Muhammad Azri, atau lebih dikenali sebagai Papagomo, yang bersama beberapa lagi dihampiri kira-kira 20 lelaki.

Pertelingkahan tercetus dengan kedua-dua pihak saling melontarkan kata-kata kesat, kata jurugambar FMT Mohamed Rabbani Jamian seperti dipetik laman itu.

Polis dilihat bergegas ke tempat kejadian sewaktu Papagomo ditarik ke pintu pelepasan jauh dari tempat kekecohan.

Papagomo yang ke Sabah untuk membantu kempen calon BN Mohamad Alamin dalam PRK Kimanis, pada Jumaat lalu mencetuskan kemarahan sejumlah pihak setelah mengoyakkan gambar Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal dalam demonstrasi membantah Pas Sementara Sabah (PSS).

Dalam pada itu, Asyraf menyuarakan penghargaan kepada pihak keselamatan KKIA kerana segera meredakan keadaan tetapi pada masa sama berharap kerajaan negeri menambah baik sistem kawalan keselamatan di tempat awam.

"Kami mengajar rakyat Sabah dan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya budaya politik samseng ini, dan menggesa pihak berkuasa segera mengambil tindakan tegas," katanya lagi.

Warisan nafi terlibat

Sementara itu, Setiausaha Agung Warisan Loretto Padua menafikan parti itu terlibat dalam insiden itu dan menyifatkan ia "bukan budaya kami di sini".

" Walaupun Papagomo menunjukkan aksi samsengnya sebelum ini sehingga mendatangkan rasa tidak puas hati pelbagai pihak, namun ini tidak bermakna kita perlu meletakkan maruah kita serendah Papagomo.

"Kami tidak tahu menahu berkenaan insiden tersebut sehinggalah ia diviralkan...Warisan tidak berkompromi dengan budaya samseng," katanya dalam kenyataan.