Skip to main
Logo Malaysiakini

Takiyuddin sangkal laporan PAS Sarawak sedia guna logo BN

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan menafikan kenyataan Ketua Penerangan PAS Sarawak, Zharudin Narudin yang berkata, PAS negeri itu sedia mempertimbangkan untuk menggunakan lambang BN pada pilihan raya umum akan datang.

“PAS Pusat ingin mengesahkan tidak pernah membuat sebarang keputusan sedemikian malah belum memutuskan penyertaan dalam pilihan raya negeri Sarawak akan datang.

“Oleh itu kenyataan tersebut bukanlah kenyataan PAS Pusat mahupun kenyataan PAS Sarawak yang disahkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Zharudin berkata berikutan kemenangan BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis pada Sabtu lalu, PAS Sarawak melihat tiada masalah untuk menggunakan lambang BN sekiranya ia perlu untuk parti itu memenangi kerusi sulungnya di negeri tersebut.

Menurut Zharudin, kemenangan BN di Kimanis adalah sebahagian petanda bahawa Muafakat Nasional (MN) sudah mula diterima di Borneo.

Justeru beliau turut menggesa Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dahulunya merupakan anggota komponen BN Sarawak supaya menyertai semula gabungan itu.

GPS yang kini menguasai 72 daripada 82 kerusi negeri menerajui kerajaan negeri.