Najib sokong pinjaman kedua kepada SRC atas dasar 'harapan'
KES SRC NAJIB | Bekas perdana menteri Najib Razak hari ini mengakui kabinet yang diterajuinya ketika itu menyokong pinjaman kedua kepada SRC International Sdn Bhd walaupun sedar pinjaman pertama RM2 bilion tidak membuahkan sebarang hasil.
Hal ini didedahkan sewaktu pemeriksaan balas terhadap Najib, terutamanya mengenai peranannya dalam jaminan kedua kerajaan supaya Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) memberikan pinjaman kedua berjumlah RM2 bilion kepada SRC.
Sithambaram: Kamu setuju pada masa itu jaminan (kedua) kerajaan diberikan, kamu sendiri sedari bahawa SRC tidak berjaya kerana ia tidak melakukan apa-apa dengan pinjaman pertama.
Najib: Saya berharap ia akan menjadi lebih baik.
Sithambaram: Ia tidak berbuat apa-apa, bagaimana mungkin ia menjadi lebih baik?
Najib: Saya berharap ia akan menjadi lebih baik.
Susulan itu, Najib bersetuju dengan pendakwaan bahawa kerajaan perlu menyediakan SRC dengan pinjaman jangka pendek dan geran apabila syarikat itu gagal membayar balik pinjaman kepada KWAP.
Sithambaran: Adakah kamu setuju bahawa satu-satunya pencapaian oleh SRC adalah untuk meletakkan RM3.6 bilion di Switzerland?
Najib: Sekarang, baru kita tahu.
Sithambaran: Adakah kamu tidak bertanya (tentang ini)?
Najib: Ia sepatutnya berada dalam transit untuk pelaburan.
Sithambaran: Ia tidak boleh berada dalam perjalanan selama tujuh tahun.
SRC menerima pinjaman RM2 bilion daripada KWAP pada bulan Ogos 2011. Ia menerima pinjaman RM2 bilion pada bulan Mac 2012. Kedua-dua pinjaman itu mendapat jaminan kerajaan.
Syarikat itu pada asalnya merupakan anak syarikat 1MDB sebelum diambil alih oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) pada 12 Feb 2012, yang mana Najib ialah menteri kewangan ketika itu.
Menjelaskan kenapa SRC menerima jaminan kerajaan walaupun sebelum memohon pinjaman kedua daripada KWAP, Najib berkata SRC tahu mereka tidak akan mendapatkan pinjaman itu tanpa jaminan kerajaan tersebut.
Apabila Sithambaran menegaskan bahawa "luar biasa" bagi kabinet untuk mengeluarkan jaminan kerajaan tanpa SRC perlu membuat permohonan, Najib berkata terdapat memo daripada ketua setiausaha Perbendaharaan pada masa itu, Wan Abdul Aziz Wan Abdullah yang mengesyorkan jaminan berkenaan.
Perbicaraan akan bersambung semula esok.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai