Plus tutup lorong tambah nilai mulai esok sampai 3 Feb
Plus Malaysia Berhad (Plus) akan menutup semua lorong tambah nilai di plaza tol masuk seliaannya mulai esok hingga 3 Feb ini bagi melancarkan pergerakan trafik sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina.
Plus dalam kenyataan hari ini memaklumkan penutupan dilaksanakan pada setiap musim perayaan itu bertujuan mengurangkan kesesakan disebabkan pelanggan beratur di lorong tambah nilai plaza tol.
“Pada musim perayaan kali ini, sebanyak dua juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya Plus terutama pada waktu puncak iaitu pada 22, 23, 24, 27, 28 dan 31 Jan serta 1 Feb nanti.
“Oleh itu, perjalanan di plaza tol dijangka terjejas sekiranya masih terdapat pelanggan terkandas dan tidak dapat membuat transaksi tol apabila baki pada kad Touch ‘n Go mereka tidak mencukupi,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, Plus tidak menyediakan perkhidmatan tambah nilai di lorong keluar di plaza tol.
Namun terdapat kira-kira 11,000 pusat tambah nilai kad Touch ‘n Go di sediakan di seluruh negara termasuk di stesen minyak terpilih, kawasan rehat dan rawat serta pusat khidmat pelanggan Plus di plaza tol terpilih.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai