Skip to main
Logo Malaysiakini

Yapeim nafi tanggapan program Inspirasiku untuk islamisasi

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) menafikan tanggapan yang melihat program Dana Inspirasi Malaysia (Inspirasiku) bertujuan untuk proses Islamisasi.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan unit komunikasi korporatnya hari ini, Yapeim menegaskan bahawa program Inspirasiku bertujuan memberi manfaat kepada pelajar sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dari keluarga B40.

Katanya, ia bagi meringankan bebanan keluarga dalam menangani aspek kebajikan dan pendidikan anak-anak khususnya untuk memulakan sesi persekolahan dan persediaan kemasukan ke IPT.

"Sehubungan dengan itu, Yapeim dengan penuh iltizam dan komited bahawa atas niat dan matlamat yang jelas, Yapeim tidak langsung terniat ke arah yang disangkakan itu sekaligus menafikan anggapan menyimpang tersebut dan berjanji untuk memelihara data pemohon bagi tujuan Inspirasiku sahaja," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa program Inspirasiku mendapat sambutan luar jangka daripada masyarakat yang menghantar borang permohonan di semua cawangan Ar Rahnu Yapeim seluruh negara.

Inspirasiku merupakan inisiatif bantuan bagi membantu keluarga golongan B40 dari segi pendidikan. Ia diperkenalkan pada 2019.

Pelajar yang layak akan di berikan bantuan sehingga RM1,000 untuk IPT dan sehingga RM500 untuk pelajar sekolah.