Skip to main
Logo Malaysiakini

Turunkan indeks jenayah antara kejayaan PDRM pada 2019

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan pencapaian membanggakan sepanjang tahun lalu apabila mencatat pelbagai kejayaan, termasuk mengurangkan kadar jenayah berbanding 2018.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador, berkata antara pencapaian terbaik PDRM ialah penurunan indeks jenayah sebanyak 249 kes bagi setiap 100,000 penduduk.

Katanya, ia adalah penurunan pada kadar 7.5 peratus.

"Bagi Jabatan Siasatan jenayah Komersial (JSJK) pula, sebanyak 17,582 operasi dijalankan dan seramai 15.876 orang ditahan atas pelbagai kesalahan.

"Sebanyak 21,016 daripada 26,465 kertas siasatan yang dikendalikan telah berjaya diselesaikan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Hamid menambah berdasarkan statistik JSJK itu, ia menunjukkan 79 peratus kes berjaya diselesaikan sepanjang tahun lalu.

Bagi menangani isu salah guna dadah pula, Abdul Hamid berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) mencatat banyak kejayaan termasuk membuat rampasan 12 tan kokain bernilai RM2.4 bilion di Pulau Pinang pada 10 Sept 2019.

Katanya, sembilan operasi khas diatur dan diperteguhkan melalui program Naziran By Night dan Nurture For Betterment sebagai langkah membersihkan negara ini daripada dadah.

Selesaikan kes jalan raya

Usaha memerangi dadah itu juga turut dilakukan ke atas anggota PDRM sendiri.

Menurut Abdul Hamid, seramai 268 orang pegawai dan anggota PDRM ditangkap mengikut Akta Dadah Berbahaya 1962 melalui Op Blue Evil sepanjang tahun lalu.

Manakala bagi tempoh 1 hingga 17 Jan tahun ini pula, katanya, seramai sembilan warga PDRM ditangkap selepas ujian saringan awal air kencing menunjukkan ia positif dadah.

"Diharapkan isu dadah dalam kalangan warga PDRM ini dapat dicantas habis-habisan demi maruah institusi keramat ini," katanya.

Menurut beliau lagi JSJN akan terus menjalankan ujian saringan air kencing secara berkala selain membuat pemeriksaan mengejut ke atas anggota PDRM.

Dengan usaha itu, kata Abdul Hamid, diyakini ia dapat mengurangkan penglibatan warga PDRM dengan jenayah dadah.

Untuk Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) pula, Abdul Hamid memberitahu, sebanyak 1,665 operasi dijalankan berbanding 961 pada 2018. Ia adalah peningkatan sebanyak 73.3 peratus.

"Daripada 101,404 operasi yang dijalankan, seramai 3,086 orang ditangkap atas pelbagai kesalahan trafik, dan 296 untuk kesalahan lain.

"JSPT juga berjaya menyelesaikan kes-kes jalan raya yang ditularkan orang ramai, termasuk langgar lari, pembuli jalanan, pemandu mabuk dan pemandu dipengaruhi dadah yang akhirnya dibawa ke muka pengadilan," katanya.

Menurut Abdul Hamid PDRM juga tidak ketinggalan daripada menyumbang bakti kepada negara melalui bidang sukan di sebalik kekangan tugas hakimi yang mencabar.

Katanya PDRM melahirkan ramai atlet yang berprospek emas dan legenda sukan yang disegani.

"Pada 2019 seramari 24 atlet terdiri daripada empat pegawai dan 20 anggota terpilih menyertai kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Manila di Filipina.

"Lebih membanggakan, atlet harapan itu juga mengharumkan nama negara dan PDRM apabila membawa pulang lima pingat emas, tiga pingat perak dan empat pingat gangsa," katanya.

Abdul Hamid kemudian menyatakan harapannya untuk melihat PDRM mencatat kejayaan lebih besar pada tahun ini demi kemaslahatan rakyat da keselamatan negara.