Skip to main
Logo Malaysiakini

Lembaga Disiplin PKR bukan boleh dipaksa, kata Anwar

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Lembaga Disiplin PKR adalah badan bebas yang dibenarkan membuat sebarang keputusan serta tidak boleh dipaksa, kata presidennya Anwar Ibrahim.

Ahli parlimen Port Dickson itu sebelumnya ditanya mengenai status Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, yang diberikan surat tunjuk sebab oleh PKR.

"Ini adalah urusan lembaga disiplin, kita tak boleh paksa mereka untuk membuat apa-apa keputusan (tertentu)," katanya.

Anwar ditemui media semasa menghadiri Persidangan Antarabangsa Sosial Islam di Universiti Sultan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu hari ini.

Terdahulu media bertanya Anwar mengenai pandangannya tentang desakan pihak tertentu untuk memecat Zuraida yang juga naib presiden PKR.

Kata Anwar, Lembaga Disiplon PKR sedang menunggu jawaban daripada Zuraida - yang diberikan tempoh selama 14 hari - berhubung surat tunjuk sebab berkenaan.

"Saya pasti mereka akan membuat keputusan yang baik," katanya.

Mengaku tak tandatangan

Anwar menambah walaupun anggota lembaga disiplin itu dilantik oleh kepemimpinan parti, ia tidak bermakna mereka boleh diarah untuk membuat keputusan tertentu.

Malaysiakini pada 18 Jan lalu melaporkan, Zuraida diberi surat tunjuk sebab oleh Lembaga Disiplin PKR bertarikh 17 Jan.

Mendedahkan hal itu, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, bagaimanapun enggan memberikan maklumat lanjut mengenai kandungan surat tersebut.

Katanya, surat berkenaan dikeluarkan Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Ahmad Kassim.

Sementara itu Anwar enggan mengulas lebih lanjut mengenai kenyataan bersama dibuat 46 pemimpin PKR yang menggesa agar kepemimpinan parti tidak menyasarkan bekas ketua wanita mereka.

"Sesetengah daripada mereka (yang namanya ada dalam kenyataan tersebut) memberitahu saya, mereka tidak menandatangani kenyataan berkenaan.

"Mereka meminta lembaga disiplin untuk menarik balik surat tunjuk sebab, tetapi lembaga itu adalah badan yang bebas," katanya.